Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Warga Felda ‘Anak Emas’ Pentadbiran Johor

By 7 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Peneroka Felda MADANI Negeri Johor 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Felda Tunggal, di sini berjaya menarik kehadiran seramai 15,127 pengunjung sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkasa komuniti peneroka.

Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Madani Peringkat Negeri Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapan perasmian penutupnya menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh peranan institusi Felda melalui pelbagai inisiatif bersasar.

“Kerajaan negeri memperuntukkan bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) sebagai usaha memperkasakan struktur kepimpinan komuniti,” katanya, di sini kelmarin.

Mengumumkan berita baik, beliau berkata sebanyak 10 kuota haji diberikan khas kepada warga peneroka Felda bagi musim akan datang, manakala 50 kuota Pinjaman Pendidikan tanpa faedah melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) turut disediakan untuk anak-anak peneroka.

Onn Hafiz turut memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi menyelesaikan isu perumahan generasi kedua yang terbengkalai, khususnya di Felda Pasak dan Felda Bukit Aping Timur yang telah menjejaskan ratusan anak muda peneroka.

“Projek-projek perumahan yang terbengkalai ini akan disiapkan sepenuhnya dalam tahun ini juga bagi memastikan anak-anak peneroka tidak terus terkesan akibat kelewatan tersebut,” ujarnya.

Penyerahan cek cura kepada Pengurus Felda Adela.

Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan, bantuan bakul makanan turut diagihkan kepada para peneroka dan keluarga mereka selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kesejahteraan komuniti Felda.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang tiga hari penganjuran termasuk pertandingan futsal belia Felda, e-sukan belia Felda, program tukar minyak hitam, pemberian motosikal secara percuma, himpunan bermotor belia Felda Johor, pertandingan menebar roti canai dan pertandingan teh tarik yang berjaya menarik penyertaan ramai.

Turut hadir Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin, Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswan Yunus serta Ketua Peneroka Felda Wilayah Johor Bahru Sharon Ab Raman.

-FN-

Tinggalkan komen anda