Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Wira Barisan Hadapan Pejuang Kesihatan Rakyat

By 6 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Jururawat Sedunia yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun bertujuan mengiktiraf sumbangan dan komitmen petugas kesihatan barisan hadapan dalam memastikan kesihatan awam negara sentiasa terpelihara.

Onn Hafiz Ghazi menyampaikan Piala Pusingan Menteri Besar Johor kepada pemenang dalam acara sukan antara hospital-hospital yang telah dimenangi oleh Hospital Muar sempena Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata jururawat, penolong pegawai kesihatan dan doktor merupakan tunjang utama kepada kesejahteraan rakyat, dan peranan mereka amat penting dalam menjamin mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

“Saya sedar dan insaf dengan pengorbanan besar yang dilakukan oleh petugas kesihatan, khususnya di Johor, yang sanggup meninggalkan keluarga demi berkhidmat untuk rakyat.

“Mereka berjuang memastikan Bangsa Johor mendapat rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Danga Bay Convention Centre (DBCC), di sini semalam.

Sebahagian jururawat yang hadir memberikan sorakan atas sokongan dan keprihatinan Kerajaan Johor dan Persekutuan dalam menghargai peranan mereka sebagai petugas kesihatan untuk rakyat.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz memaklumkan bahawa negeri Johor sedang berdepan kekurangan petugas jururawat dan perkara tersebut telah dibawa ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan sewajarnya.

“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, KKM disaran agar segera menangani isu kekurangan petugas kesihatan di beberapa fasiliti kesihatan di negeri ini, demi memastikan keperluan kesihatan Bangsa Johor dipenuhi secara optimum,” ujarnya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad dan Pegawai Daerah Johor Bahru Masni Wakiman.

-RI

 

 

Tinggalkan komen anda