
Laporan/foto: Muhammad Zarul Afify/Facebook Ab Rauf Yusoh
JASIN, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Majlis Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini semalam menandakan kejayaan pelaksanaan program selama dua minggu yang memberikan impak besar kepada kesejahteraan rakyat setempat.

Ketua Menteri Melaka turut serta dalam pertandingan memasak Wanita Bemban.
Sepanjang tempoh itu, 148 aktiviti telah dijalankan, manakala lebih 90 peratus aduan rakyat berjaya diselesaikan.
Menurut Ab Rauf, program WRUR membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mendengar dan menyelesaikan isu rakyat secara langsung.
“WRUR bukan sekadar program mendekati rakyat, tetapi medan untuk bertindak menyelesaikan masalah secara nyata,” katanya.
Beberapa sekolah telah menerima penaiktarafan infrastruktur pendidikan, manakala pembinaan laluan alternatif baharu dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan akses penduduk.
Bantuan turut disalurkan kepada ribuan penerima melalui pelbagai agensi, termasuk sumbangan keperluan asas dan perkhidmatan sokongan komuniti.
Tumpuan juga diberikan kepada kawasan terjejas banjir dengan kerja-kerja tebatan segera dilaksanakan di beberapa lokasi kritikal.

Lawatan Ketua Menteri Melaka ke ruang pameran agensi.
Di samping itu, projek besar tebatan banjir sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan penduduk. Inisiatif pendigitalan turut digerakkan menerusi pengedaran pelekat alamat digital yang akan memudahkan urusan penghantaran, kecemasan dan perkhidmatan awam di kampung-kampung terlibat.
Pada majlis tersebut, Ab Rauf turut mengumumkan insentif kerajaan negeri termasuk diskaun kompaun pihak berkuasa tempatan dan pengurangan cukai tanah sebagai usaha meringankan beban rakyat di peringkat akar umbi.
-FN-