
PUTRAJAYA, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan pengusaha pelancongan berlesen agar tidak menjalin sebarang kerjasama dengan mana-mana individu atau agensi tidak berlesen seperti ulat pakej dan pekerja bebas (freelance) dalam menawarkan pakej pelancongan, bayaran komisen, jualan dan diskaun kepada pelancong.
Menerusi kenyataan hari ini, MOTAC berkata peringatan itu dibuat bagi melindungi pelancong agar tidak tertipu ketika menjalankan urusan tempahan pakej pengangkutan, penginapan, pelancongan, tiket lawatan atau sebarang perkhidmatan sampingan.
Menurut MOTAC, mana-mana pengusaha pelancongan berlesen yang tidak bertanggungjawab bakal dikenakan tindakan yang telah dikuatkuasakan kerajaan bagi memastikan Keluarga Malaysia dilindungi serta mendapatkan khidmat melalui pakej pelancongan yang telus.
Menurut MOTAC, pengusaha terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali selaras dengan Peraturan 6(1)(f) di bawah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.
Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan (Akta 482) pula memperuntukkan tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan atau perniagaan agensi pengembaraan melainkan jika ia merupakan sebuah syarikat dan pemegang lesen sah.
Akta 482 menyatakan bagi kesalahan kali pertama, denda maksimum RM500,000 akan dikenakan atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan yang berulang, denda maksimum RM5,000 akan dikenakan bagi setiap hari kesalahan yang dilakukan.
Terdapat 4,607 pengusaha pelancongan yang berlesen dengan MOTAC kini.
MOTAC dalam pada itu menasihatkan pelancong agar menggunakan khidmat pengusaha pelancongan berlesen sahaja dalam menjalankan urusan bagi aktiviti pelancongan.
Menurut MOTAC, hasil pemantauan dan tinjauan dalam talian oleh Pasukan Penguat kuasa MOTAC pada awal bulan ini mendapati terdapat pelancong telah menggunakan khidmat pengusaha pelancongan tidak berlesen dengan MOTAC.
Sebagai panduan kepada pelancong, MOTAC menyarankan mereka untuk menyemak terlebih dahulu senarai pengusaha pelancongan berlesen sebelum membuat sebarang tempahan melalui laman sesawang rasmi MOTAC www.motac.gov.my/semakan/tobtab.
Sekiranya terdapat maklumat atau maklum balas berkaitan pengusaha pelancongan tidak berlesen, MOTAC mengalu-alukan sebarang aduan atau maklum balas melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam MOTAC di laman sesawang https://motac.spab.gov.my/.
— BERNAMA