
Laporan/foto: Faizal Nazmi
MUAR, 27 Jul (MalaysiaAktif) — Larian Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk di Dataran Tanjung Emas di sini yang melibatkan penyertaan kanak-kanak sekolah rendah dilihat mampu menjadi platform berkesan menyemai semangat perpaduan dan kecintaan terhadap negara sejak usia awal.
Melibatkan ribuan peserta daripada pelbagai kaum dan latar belakang, program itu bukan sekadar memeriahkan sambutan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025, malah turut memperkukuh interaksi sosial serta nilai kerjasama dalam kalangan generasi muda.
Seramai 50 orang daripada mereka ialah pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa 3 yang teruja untuk berlari pada acara sempena sambutan MPBKKJG 2025 yang julung kalinya diadakan di daerah berkenaan, hari ini.
Guru Besar, Loi Kai Hee berkata lebih daripada sekadar larian yang memupuk gaya hidup sihat, beliau percaya acara tersebut adalah platform terbaik mendedahkan erti sebenar nilai patriotisme dan perpaduan dalam kalangan muridnya.
“Sebagai sebuah negara majmuk dan dengan pelajar saya juga terdiri daripada pelbagai kaum, saya berbangga kerana pagi ini mereka hadir seawal 5.30 pagi untuk turut sama-sama berlari.
“Sudah tentu, saya percaya ini jadi landasan terbaik untuk pupuk dan kukuhkan lagi semangat perpaduan antara mereka sejak usia muda. Terutamanya apabila mereka dapat melihat contoh golongan dewasa yang berkumpul tanpa kira kaum dalam acara ini,” katanya kepada MalaysiaAktif hari ini.
Loi juga terharu apabila mendapati anak muridnya sama sekali tidak mengeluh mengenai jarak larian sejauh 6.8km kerana mereka katanya lebih mencari keseronokan dalam acara tersebut terutamanya apabila ia berbeza daripada rutin sambutan bulan kebangsaan di peringkat sekolah seperti kuiz kemerdekaan dan aktiviti nyanyian.
Selain itu, beliau berkata anak muridnya juga teruja apabila dimaklumkan mengenai kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di majlis tersebut dan mereka dilihat ternanti-nanti untuk bertemu pemimpin negara itu.
Sementara itu, Nuur Qhaireen Irdina Abdullah,12, berkata dia gembira apabila berjaya menyertai larian tersebut lebih-lebih lagi apabila difahamkan penyertaan bagi setiap sekolah dihadkan kepada hanya 50 pelajar sahaja.
“Ini kali pertama saya sertai larian jadi saya semangat dan gembira sebab boleh beramai-ramai dengan pelbagai kaum. Jadi, sebagai anak kecil, saya yakin ini penting untuk mengajar kami erti perpaduan,” katanya.
Rakannya, Zarahana Hafizul, 12, pula berkata selain larian, dia juga tidak sabar untuk bertemu dengan Perdana Menteri pada sambutan itu.
“Saya sangat-sangat tak sabar nak jumpa PM (Perdana Menteri). Sudah lama saya pasang impian untuk melihat dan berjumpa dengan beliau, terutama bila tengok kawan-kawan di sekolah lain telah dapat peluang tersebut. Insya-Allah, hari ini giliran saya pula,” katanya.
Larian tersebut adalah sebahagian daripada pengisian MPBKKJG 2025 dengan jaraknya adalah simbolik kepada 68 tahun kemerdekaan Malaysia.
Pelepasan larian peserta pada pukul 7 pagi dilakukan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang turut mengambil peluang menyertainya.
-FN-





