
Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan Awang (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Usaha awal untuk mengubati penyakit batuk yang dialaminya telah membuka peluang seorang pengusaha kelulut keluar daripada kemiskinan tegar.
Suhaimi Salleh, 48, dari Kampung Machang, Ajil, di sini telah berjaya membuktikan madu kelulut asli bukan sahaja bermanfaat bagi tujuan perubatan malah boleh dikormersialkan dan seterusnya membantu penternak menjana pendapatan diri dan keluarga.
Bermula pada tahun 2017 dengan hanya satu sarang di halaman rumah, beliau kini mempunyai lebih 110 sarang kelulut melibatkan tiga tapak ternakan pelbagai spesies kelulut termasuk kelulut hutan.
Menurut Suhaimi, beliau menuai madu kelulut sebulan sekali bagi setiap sarang mengikut musim dan kebiasaannya, madu kelulut dituai bermula bulan Februari atau Mac sehingga Oktober mengikut keadaan cuaca.
“Madu paling banyak dihasilkan ketika musim bunga dan musim buah.
“Pada masa puncak, antara 50 hingga 60 kilogram madu kelulut boleh dituai untuk jualan dan harga setiap kilogram ialah RM150,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, beliau dipilih menjadi mentor bagi program Basmi Miskin Tegar (BMT) anjuran Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan membantu lapan orang penerima bantuan E-Kasih dari Kampung Baung dan Kampung Payang Kayu memulakan projek ternakan kelulut melibatkan 10 sarang bagi setiap peserta.
“Usaha ini juga telah mendapat perhatian beberapa agensi kerajaan terutama Jabatan Pertanian di bawah projek Usahawan Muda dan dianugerahkan Ikon Usahwan Muda Ternakan Kelulut daripada Jabatan Pertanian,” katanya.
-ZS-