
Laporan/foto: Hasmah Hanafi (Kulim)
KULIM, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Hampir 200 orang penduduk Padang Serai, di sini mengambil kesempatan untuk mengisi maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) melalui program Siri Jelajah Pendaftaran PADU daerah Kulim.
Program jelajah anjuran Jabatan Perangkaan (DOSM) Negeri Kedah PEDi di Dewan Perniagaan Ekonomi Sidam Kanan, di sini Sabtu lalu bermula seawal pukul 8.00 pagi bertujuan memudahkan orang ramai mengisi dan mengemas kini maklumat.
Pembantu Perangkaan DOSM Negeri Kedah Amir Ismail, 43, berharap penduduk Padang Serai dan sekitarnya segera datang untuk mendaftar di dalam sistem PADU agar memudahkan mereka mendapat sebarang bantuan dan subsidi kerajaan pada masa hadapan.
“Melihat sambutan daripada penduduk kita akan memanjangkan masa pendaftaran sehingga petang di samping akan memperluaskan lagi program sebegini terutama di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.
Amir berharap program turun padang sebegini mendapat sambutan yang baik.
“Ianya membantu memudahkan masyarakat mengakses maklumat dan menggunakan peralatan pendaftaran PADU memandangkan jarak untuk ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di kawasan ini adalah sangat jauh.
“Selain itu ianya juga sebagai inisiatif Jabatan Perangkaan untuk mendekati rakyat,” katanya.
Menurut pengunjung Jamal Mohamad, 43, dari Kampung Guar Lobak, siri Jelajah PADU ini memudahkan dia dan rakan-rakannya untuk mendaftar di sistem PADU.
“Sebagai pemandu lori, saya tiada masa untuk berkunjung ke PEDi dan juga kurang mahir untuk mengisi sistem PADU secara maya,” ujarnya.
-ZS-