Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Peruntukan RM5 Juta Pulih Kebun Koko di Sabah

By 18 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Sabah menerima sebanyak RM5 juta peruntukan untuk menjalankan Projek Pemulihan Kebun Koko bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada di negeri ini.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr. Ramle Kasin, berkata peruntukan itu adalah untuk pelaksanaan projek bagi tahun 2024 hingga 2026 dan memberi manfaat kepada 2,084 orang petani.

Dr Ramle menunjukkan sample coklat terkenal yang menggunakan biji koko tempatan.

“Menerusi projek ini, kerajaan telah menyalurkan bantuan dari segi menyediakan baja, racun dan teknologi baharu kepada semua petani koko yang terlibat.

“Kita akan memberikan tunjuk ajar kepada petani tentang teknik baharu dalam tanaman dan penjagaan koko supaya kebun mereka dapat mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

“Selain itu, petani juga dapat memproses biji koko basah kepada biji koko kering yang mampu menghasilkan produk bernilai dan berkualiti lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pasca Tuai dan Peningkatan Hasil Koko (RPHK) Siri 1/2024 Zon Pantai Timur Sabah anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sini pada Khamis.

Dr. Ramle mengambil gambar kenangan bersama para peserta kursus.

Mengulas lanjut, beliau berharap bantuan yang dihulurkan berupaya meningkatkan produktiviti kebun petani koko di Sabah menerusi pengaplikasian teknologi sekaligus meningkatkan pendapatan serta menyokong keperluan keluarga mereka.

“Projek ini adalah untuk memperluaskan dan meningkatkan pengeluaran koko di Pantai Timur Sabah yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengeluar biji koko terbesar di Malaysia.

“LKM sekarang ini sedang melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk Program Tanaman Baharu Koko seluas 20 hektar dan Program Pemulihan Koko seluas 154 hektar di bawah selian LKM Tawau.

“Kursus ini pula bertujuan memantapkan ilmu kepada para petani berkaitan penjagaan kebun koko dan kualiti biji koko,” ujarnya.

Sebagai makluman seramai 123 orang petani dan kakitangan LKM telah menyertai kursus tersebut yang bertujuan untuk memantapkan ilmu-ilmu berkaitan penjagaan kebun koko dan kualiti biji koko kepada penggiat industri tempatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda