
Laporan/foto: Aneta Ahmad (Dungun)
DUNGUN, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) adalah pakej Sihat Sepanjang Hayat bagi manfaat rakyat melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.
“ANMS merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik menerusi kerjasama dengan rakan-rakan strategik kerajaan.

Dr. Mohd Hafis Baharudin menyempurnakan gimik perasmian bengkel.
“Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal iaitu penggal pertama bermula pada 2021 hingga 2025, penggal kedua pula bermula pada 2026 dan akan berakhir pada 2030 melibatkan empat teras utama, 10 strategi, dan 24 inisiatif,” kata Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Kesihatan Negeri (UPKN), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Suriyani Ali.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat di Bengkel Pemerkasaan ANMS Peringkat Daerah Dungun Tahun 2024, di sini kelmarin.
“Tujuan bengkel ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada semua peserta berkaitan pelaksanaan ANMS di daerah ini,” katanya.

Peserta bengkel tekun mendengar taklimat berkaitan ANMS.
Rakan strategik dari Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Dungun (AADK) Aidawani Ismail dan Nurzatul Abd. Majid dari Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional Daerah Dungun teruja kerana dipilih untuk bersama-sama menjayakan ANMS di peringkat jabatan masing-masing dan akan memastikan ANMS dapat diamalkan dalam kalangan rakan sekerja bagi kesejahteraan semua pihak.
Selain penyampaian ceramah berkaitan ANMS, gimik perasmian serta penyampaian lanyard ANMS kepada peserta bengkel turut diadakan dan disempurnakan oleh Pegawai Perubatan Dr. Mohd Hafis Baharudin.
Lebih 20 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan daerah Dungun hadir ke bengkel ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Mohd Firdaus Abd.Ghaffar.
-ZS-