Skip to main content
MA

Amalkan Konsep Lima Rukun Negara Kunci Perpaduan

By 21 Mei 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Shahvian Mohd Razali (Sabah)

PENAMPANG, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Membina negara bangsa yang berjaya dan makmur, memerlukan perpaduan dan kesatuan yang kukuh terutama dalam sebuah sosio masyarakat majmuk.

Pegawai Perpaduan Zon Pedalaman Atas, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Hilman@Jack Usli, berkata aspirasi tersebut mudah dicapai sekiranya masyarakat memahami dan mendalami erti Rukun Negara.

Edi Pegawai Penerangan Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Sabah.

Dibentuk selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, Hilman berkata pemahaman dan penguasaan masyarakat terhadap kelima-lima teras Rukun Negara berupaya mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur dari segala sudut.

“Kalau kita boleh menguasai lima prinsip Rukun negara ini maka kita boleh menerapkan dalam hati kita bahawasanya kita perlu untuk ingat Prinsip Rukun Negara ini sangat penting untuk perpaduan, apabila kita dapat menguasainya kita dapat menyebarluaskan kepada rakan-rakan lain untuk sama-sama mengamalkan dan menghayatinya.

“Jika kelima-lima prinsip Rukun Negara dapat kita fahami, amalkan dan hayati maka kita akan dapat mengecapi perpaduan yang diinginkan,” katanya semasa Program Influencer@JaPen anjuran Jabatan Penerangan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut memberi pandanfan agar prinsip-prinsip Rukun Negara kembali dicetak semula di buku-buku latihan para pelajar sekolah agar generasi tanah air ini sentiasa peka dan menjiwai amalan yang dituntut sebagai seorang rakyat berpandukan Rukun Negara.

Hilman menerima cenderamata daripada Timbalan Pengarah Penerangan, Encik Supian Musa dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah, Puan Geraldine Voo.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Sabah, Edi Rizam Kassim berkata Jabatan Penerangan (JaPen) sentiasa memperkasa fungsi jabatan memasarkan maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat sehingga ke akar umbi.

“Dalam program hari ini pun kita turun padang dan libat urus di sini dengan membawa bersama agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi untuk menyampaikan mesej melalui media sosial yang disiarkan secara langsung di Facebook JaPen.

“Sebenarnya JaPen dan JPNIN mempunyai fungsi yang tidak jauh beza iaitu fokus untuk menyampaikan perkembangan terkini kerajaan, memperluaskan mesej perpaduan khususnya di Sabah supaya masyarakat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain bagi mengelak konflik, selisih faham dan menjana perpaduan unggul,” ujarnya.

Untuk rekod, Program Influencer@Japen antara program dianjurkan sebagai pengisian Majlis pelancaran Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 Negeri Sabah yang diadakan di ITCC Shopping Mall, Penampang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda