
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Jun (Malaysiaktif) – Cacat penglihatan bukanlah penghalang untuk seseorang individu Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menjana pendapatan sendiri demi menyara keluarga dan menanggung perbelanjaan seharian isi rumah.
Demi membimbing golongan ini, Persatuan Bagi Orang-Orang Buta Tuaran menyediakan pelbagai bentuk latihan kemahiran termasuk urut terapi dan refleksologi kepada OKU penglihatan dari pelbagai peringkat umur di daerah tersebut.

Yenny Yap ketika ditemui pada program tersebut
Menurut Setiausaha Eksekutif Persatuan Bagi Orang-Orang Buta Tuaran, Yenny Yap, setiap latihan kemahiran diadakan sebagai alternatif membantu golongan tersebut untuk hidup berdikari seterusnya mempunyai pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
“Ahli-ahli yang bersama persatuan ini telah pun mengikuti latihan kemahiran sejak mereka muda lagi, malah ada di antara mereka telah mempunyai pengalaman dalam bidang urutan selama 20 hingga 30 tahun.
“Biasanya mereka ini akan beroperasi di Tamu Mingguan Gaya Street dan menghadiri acara-acara tertentu sekiranya mendapat jemputan daripada agensi-agensi, seperti hari ini,” katanya ketika ditemui pada program Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 Peringkat Negeri Sabah di sini, kelmarin.
Sementara itu, salah seorang tukang urut OKU penglihatan, Anisah Basarah, 42, berkata dia telah berkecimpung dalam bidang urutan sejak tahun 2003 yang lalu dan melalui kemahiran tersebutlah tempat dia bergantung rezeki selama 21 tahun ini.
“Saya menpunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan dengan kemahiran tersebut saya kini masih meneruskan kerja dengan mengurut pelanggan yang memerlukan perkhidmatan urutan daripada golongan OKU penglihatan seperti kami.

Anisah ketika mengurut pelanggannya
“Saya sangat bersyukur saya masih boleh lagi mencari pendapatan biarpun ada kekurangan, secara puratanya saya boleh memperolehi pendapatan sebanyak lebih kurang RM800 sebulan dengan kemahiran saya mengurut kaki dan bahu pelanggan,” ujarnya yang mempunyai masalah penglihatan sejak lahir.
Sebagai makluman, persatuan tersebut antara 60 agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam program Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung pada 28 Jun 2024 bertempat di Kompleks Jabatan Penjara Sabah, Kota Kinabalu.
-AA-