
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Sembilan sungai di Johor Bahru telah mengalami pencemaran tahap kelas ketiga dan keempat dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) ketika ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon (dua dari kiri) tiba di Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu, Johor Bahru sempena program Ceriakan Sungai Tebrau
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Sungai Danga, Sungai Tukang, Sungai Kempas, Sungai Buluh, Sungai Tampoi, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung dan Sungai Sengkuang mengalami pencemaran akibat daripada aktiviti perindustrian dan loji kumbahan secara tidak terancang.
“Empat anak Sungai Tebrau iaitu Sungai Sebulung, Sungai Pandan, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi mencatatkan kualiti air yang sangat membimbangkan akibat daripada faktor loji kumbahan yang tidak diselia dengan baik selain sektor komersial, industri dan aktiviti kerja tanah,” katanya ketika merasmikan Program Ceriakan Sungai Tebrau di Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu, semalam.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM206.8 juta bagi infrastruktur pengkhususan air yang meliputi 22 projek sambungan dan lapan projek baharu yang bakal dilaksanakan.

Seramai 200 orang sukarelawan terlibat dalam program berkenaan antaranya dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, SWCorp, sukarelawan Volunteers Team JB dan Politeknik METRO Johor Bahru
“Kerajaan sentiasa bertindak segera dalam memastikan isu pencemaran air yang berlaku dapat diselesaikan melalui kerjasama Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Sungai demi menjaga kelestarian air dan sungai di negara ini,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon.
-AA-