
Laporan/foto: Melanie Marcellina J Kinjawan/Mohd Anuarsah Abd Wahab (Sabah)
BELURAN, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Daerah Beluran, Superitenden Hasan Majid komited untuk memastikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah itu yang akan berlangsung pada 21 Ogos 2024 berjalan lancar.
Jelasnya, pihak polis akan memberikan sepenuh kerjasama untuk memastikan perjalanan konvoi KMJG melibatkan pelbagai agensi dan program berjaya dilaksanakan dengan perancangan yang teliti.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran akan sentiasa memberikan komitmen dan kerjasama untuk memastikan perjalanan KMJG di daerah ini berjalan dengan lancar.

Melani ketika kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.
“Pihak kami akan membuat perancangan awal bagi memastikan tidak berlaku kesesakan laluan kenderaan-kenderaan KMJG dan kawalan keselamatan ditingkatkan,” katanya ketika kunjungan hormat Pejabat Penerangan Daerah (PPD) ke IPD Beluran di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, PPD Beluran, Melanie Marcellina J Kinjawan berkata KMJG menjadi acara tahunan Jabatan Penerangan (JaPen) dalam usaha menyemarakkan dan menggelorakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di seluruh pelusuk negeri.
“Kami amat berharap agar semangat patriotik yang telah sekian lama dimiliki dan menjadi amalan seluruh masyarakat di Beluran akan sentiasa subur dan diperkasa dengan nilai-nilai murni.
“Penglibatan agensi kerajaan, swasta, dan orang awam menjadi pemangkin kepada pembinaan negara bangsa yang berjaya.
“Kunjungan hormat ini adalah antara usaha untuk mengeratkan kerjasama serta hubungan strategik sedia ada antara IPD Beluran PPD Beluran selain memperkasa kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelaksanaan program-program pada masa akan datang,” jelasnya.
Untuk makluman, selain membincangkan mengenai persediaan dan perancangan Program KMJG, PPD Beluran turut menyerahkan bendera Malaysia kepada IPD Beluran bagi menyahut aspirasi kerajaan dalam mempromosi kempen Kibar Jalur Gemilang dan Bendera Sabah khususnya di daerah Beluran.
Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (JSJ) Beluran ASP Hardymas Sawali.
-ZS-