Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

‘Jiwa Tenang Hati Riang’ Bantu Tangani Stres

By 2 Ogos 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhafizah Yusof/Luhat Ajang (Sarawak)

KUCHING, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – ‘Jiwa Tenang Hati Riang’, slogan yang digunakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak semasa memberikan taklimat ‘Pengurusan Stres dan Kesihatan Mental’ sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung II Persatuan Bekas Anggota Jabatan Penerangan Negeri Sarawak (PENERANG) yang berlangsung di Hotel Serapi, Jalan Kulas, di sini semalam.

Penolong Pengarah Kanan (Psikologi) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Mohd Syafiq Densen Abdullah, berkata bahawa modul stres akan bermula pada tekanan fizikal ke tekanan mental seterusnya ke sikap atau mekanisme seseorang itu dan berakhir kepada tekanan emosi.

Joseph Tan salah seorang pesara kerajaan yang ditemu duga.

Tambahnya, antara punca stres adalah faktor sifat semula jadi, faktor tugas dan tanggungjawab serta masalah hubungan sesama manusia.

“Yang menentukan tahap stres fizikal, mental dan emosi seseorang itu adalah daripada sikap kita sendiri dalam menghadapi stres.

“Sekiranya kita dapat menghadapinya dengan baik, tekanan emosi kita akan menjadi lebih stabil dan sihat. Sebagai contoh, sekiranya kawan kita mempunyai masalah, kita seharusnya mendengar luahan emosi mereka supaya tidak menahan masalah tersebut sendirian yang akhirnya akan menjadi kanser didalam diri mereka,” kata Syafiq.

Kesihatan mental sememangnya sangat penting dalam membentuk identiti diri, mencapai potensi diri dan sebagai persediaan hadapi cabaran alam dewasa, menjamin gaya keibubapaan yang lebih efektif di mana keharmonian dalam sesebuah perkahwinan itu dapat dinikmati bersama selain turut menangani cabaran yang berlaku dalam rumah malah di tempat kerja.

Julis Neba Sireb, pesara kerajaan.

Bagi yang bekerja pula, kesihatan mental yang baik dapat mencapai cara bekerja yang sihat dan seronok. Mereka dapat memupuk hubungan dengan rakan sekerja dengan lebih erat dan harmoni yang akhirnya melahirkan sikap individu yang berdikari dan kualiti hidup yang baik.

Kata Syafiq lagi, mereka yang mempunya kesihatan mental baik adalah mereka yang merasa selesa dengan diri-sendiri dan mereka merasa selesa dengan orang lain dan berupaya memenuhi cabaran hidup dalam kehidupan seharian.

Menurut salah seorang pesara kerajaan Joseph Tan, 62, seorang pesara itu seharusnya bersikap positif dan jangan terlalu fikir masalah tetapi kena menyesuaikan diri dengan masalah tersebut.

Bagi Julis Neba Sireb, 64, pula sebagai seorang pesara kerajaan, beliau langsung tidak merasakan stres kerana beliau sangat senang untuk bergaul dengan orang lain.

“Saya berharap agar pesara-pesara di luar sana untuk mengaktifkan diri dengan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada kita dengan menjaga kesihatan fizikal yang turut membantu kepada pengurusan stres yang baik.

“Sebagai kesimpulan, cara terbaik untuk pengurusan tahap tekanan dalam diri kita adalah dengan kembali kepada diri kita sendiri kerana diri sendiri yang mengawal diri kita sendiri,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda