
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
SITIAWAN, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Acara 6,700 Langkah Kemerdekaan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2024 di Dataran Putra Bandar Lumut, di sini pagi semalam menjadi simbolik kepada ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-67.

Pelepasan peserta acara 6,700 Langkah Kemerdekaan
Timbalan Pengarah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKMSAS) Sazali Zakaria, berkata acara tersebut dianjurkan bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.
“Acara ini berjaya mengumpulkan hampir 2,000 peserta termasuk pelajar ILKKMSAS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan orang awam terdiri daripada pelbagai lapisan umur,” katanya sejurus menyempurnakan pelepasan acara ini bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung Muhammad Faizal Shah Safian Suri.
Sementara itu, peserta Maslina Adanan, 45, berkongsi rasa teruja dan gembira kerana daerah Manjung terpilih sebagai lokasi perasmian program yang cukup bermakna buat rakyat negeri ini.

Maslina Adanan teruja menyertai acara ini bersama rakan peserta lain
“Perasaan cukup bersemangat untuk menyertai acara 6,700 Langkah Kemerdekaan kerana dapat bersama-sama peserta dari seluruh negeri Perak.
“Program ini memberi kesedaran untuk kita terus berdaya maju dalam arena sukan dan akademik.
“Harapan saya agar rakyat Malaysia terus bersemangat untuk kembali meraikan dan merayakan Bulan Kebangsaan tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya yang merupakan guru dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Dindings.
-AA-