
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Zon Maritim Labuan
LABUAN, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menahan sebuah kapal tangki membawa 30,000 Liter Diesel tanpa lesen Petroleum Development Act (PDA) baru-baru ini.

Pegawai Zon Maritim Labuan bersama salah seorang pengendali kapal tangki tersebut.
Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Izwanhadi Idros, berkata kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan OP SEJAHTERA 1/2022 dan OP TIRIS 3.0 telah mengesan kapal tersebut di kedudukan 8.6 batu nautika utara Pulau Labuan.
“Hasil pemeriksaan, kapal tersebut dipercayai dikendalikan oleh seorang Chief Officer berumur 37 tahun dan Chief Engineer berumur 29 tahun, masing-masing warganegara Indonesia.
“Kapal tanker dengan muatan diesel sebanyak 30,000 liter disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Petroleum 1984 iaitu beroperasi tanpa bukti invois pembelian bahan bakar.

Zon Maritim Labuan mengesan kapal itu di kedudukan 8.6 batu nautika utara Pulau Labuan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru kapal tersebut seramai tujuh orang disyaki memiliki dokumen yang meragukan dan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan informasi kelakuan jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
-ZS-