Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pendigitalan Agenda Utama Reformasi Pendidikan

By 23 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/ Wira Ismail (Jabatan Penerangaan) 

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan kini telah meletakkan Agenda Digital sebagai keutamaan daripada enam agenda Reformasi Pendidikan negara.

Fadhlina bersama Dr. Malar dalam rancangan ‘ini kopi kita: Sembang Anak Malaysia’.

Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kepantasan perkembangan teknologi digital ketika dunia dilanda wabak COVID-19 menyebabkan Kementerian Pendidikan memberikan tumpuan terhadap agenda pendigitalan pendidikan negara.

“Kita melihat pergerakan digital sangat-sangat laju, sangat cepat. Ia sebenarnya bermula semasa rempuhan COVID-19 dan ia terus menjadi sebahagian daripada segmen pendidikan.

“Jadi, untuk itu selepas sahaja kita melalui rempuhan wabak COVID itu, kita melihat ada keperluan dasar yang lebih mencakupi dan meluas untuk memastikan yang paling penting tiada siapa yang terpinggir dalam arus digitalisasi. Sebab itu kita telah pun lancarkan Dasar Pendidikan Digital Negara, khusus untuk memandu pendidikan dalam konteks digital,” katanya.

Beliau, berkata demikian dalam episod keempat rancangan ‘ini kopi kita: Sembang Anak Malaysia’ yang disiarkan secara eksklusif di laman media sosial rasmi Jabatan Penerangan (JaPen) pagi tadi.

Fadhlina, Dr. Malar, Timbalan Ketua Pengarah (D) JaPen Erwin Khairul Ahmad, Pengarah Bahagian Media Siber JaPen Chua Hin Chew bersama hos dan krew ‘ini kopi kita: Sembang Anak Malaysia’.

Pada episod kali ini, Fadhlina Sidek bersama doktor perubatan dan pempengaruh media sosial Dr. Malar Santhi Santherasegapan membicarakan tentang topik Era Digital, Perpaduan dan Pendidikan.

“Sebab itu kita sedang memberi tumpuan kepada kompetensi guru-guru kita supaya menguasai digital. Dalam aspek lain, infrastruktur juga mesti diperkukuhkan.

“Apalah maknanya digital ini kalau infrstukturnya tidak diperkukuhkan, kesenjangan antara bandar dan luar bandar mesti kita segera selesaikan,” katanya.

Fadhlina turut memuji guru-guru yang begitu komited memberikan pendedahan kepada pelajar dalam menggunakan teknologi digital Kecerdasan Buatan (AI).

“Antara komuniti terbesar yang telah pun menjayakan program AI Madani atau AI untuk Malaysia (AI untuk Rakyat) ini adalah guru-guru kita sendiri sebenarnya. Exposure kepada AI ini sudah pun sampai ke sekolah dan telah pun digunakan sepenuhnya.

“Saya rakamkan ucapan tahniah dan sangat bangga sebenarnya penggunaan ini (Pelantar DELIMa) untuk guru mencapai 97 peratus. Maknanya guru-guru kita ini hands-on dengan semua pelantar dan juga keupayaan digital AI dan sebagainya,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda