Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Keunikan Songket Warisan Tradisional Wajar Disanjung

By 9 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Songket, kain tenunan yang sinonim dengan negeri pantai timur Malaysia menjadi simbol kehalusan seni tenunan tradisional yang diwarisi turun-temurun. Di sekitar daerah Kuala Terengganu, pembuatan songket banyak diusahakan oleh suri rumah sebagai kerja sampingan menjadikannya salah satu warisan budaya yang paling terkenal.

Damilah Awang pengusaha songket yang beroperasi di rumah sebagai pusat jualan

Kain songket bukan hanya digunakan sebagai persalinan tradisi, tetapi juga sebagai pakaian rasmi untuk pelbagai majlis istiadat. Keanggunan dan kreativiti tukang tenun jelas terserlah melalui corak yang indah dan menarik, menjadikannya pilihan ramai.

Damilah Awang, 59, seorang pengusaha songket dari Kampung Gong Baru, antara individu yang berusaha memelihara nilai dan kreativiti songket. Beliau mula menenun songket sejak usia 16 tahun dan mewarisi kemahiran ini dari keluarganya. Kini, beliau mengusahakan perniagaan songket dan mempunyai pekerja penenun yang beroperasi di rumah sebagai pusat jualan songket.

“Songket kini telah moden dengan motif abstrak dan flora pelbagai warna menjadikannya pilihan ramai. Motif seperti Awan Larat dan Pucuk Rebung adalah antara yang paling popular pada masa dahulu.

Asmah Salleh sering dikunjungi pelawat untuk melihat proses tenunan songket

“Songket diperbuat daripada benang sutera menjadi pilihan kerana kehalusan dan nilai pasaran yang tinggi mencecah harga ribuan ringgit. Proses menyiapkan sehelai kain samping menggunakan benang sutera memerlukan antara satu hingga tiga bulan bergantung pada teknik tenunan yang rumit bagi memastikan kualiti dan mutu terjaga,” katanya.

Beliau menerima banyak tempahan dari pelbagai pihak termasuk Istana Negeri Perak, Kerajaan Negeri Terengganu, pembesar negara, serta pelanggan dari dalam dan luar negara. Damilah juga sering menerima jemputan untuk mempamerkan hasil tenunan di pertunjukan ekspo dan mengadakan pameran di luar Terengganu.

Asmah Salleh, 64, juga dari Kampung Gong Baru, mempunyai pengalaman hampir 45 tahun dalam penenunan songket dan sering menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara untuk melihat proses pembuatan songket di kediamannya.

“Pentingnya penjagaan kualiti songket dilakukan dengan betul agar tidak melipat kain untuk mengelakkan kerosakan pada sulaman. Cabaran yang dihadapi oleh pengusaha songket adalah lambakan songket yang dihasilkan menggunakan mesin, menjadikan harga lebih murah berbanding songket tenunan asli,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Selain sebagai pakaian persalinan, setanjak serta samping, songket sering digunakan sebagai bahan hiasan seperti alas meja, sarung kusyen serta aksesori seperti beg tangan dan kasut. Songket bukan hanya menjadi simbol warisan, tetapi juga melambangkan keindahan, kekayaan, dan kebanggaan budaya serta menjadi identiti bangsa.

-AA-

Tinggalkan komen anda