Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Obesiti dalam Kalangan Wanita: Risiko dan Pencegahan

By 10 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Sabah)

KOTA KINABALU, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Isu obesiti dalam kalangan wanita wajar dilihat dari pelbagai sudut bagi memastikan keadaan kesihatan yang boleh mendatangkan penyakit kronik ini dapat dibendung di peringkat awal.

Perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan, Hospital Pakar KPJ Sabah Dr. Sofia Annaim Abdussyukur, berkata wanita yang mengalami obesiti terdedah kepada beberapa masalah kesihatan selain mengundang kepada isu psikologi seperti stres berlebihan.

Jelasnya, antara fasa kritikal yang selalu menjadi punca kepada obesiti dalam kalangan wanita ialah selepas tempoh bersalin di mana wanita secara tidak sengaja mengabaikan keadaan kesihatannya semasa melakukan tugas-tugas seorang ibu.

Dr Sofia menerima sijil penghargaan daripada Pegawai Penerangan, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah Nuzuluddin Abdul Razak.

“Wanita yang obesiti selalunya akan mengalami masalah kenaikan berat badan yang mendadak selepas bersalin kerana dalam kesibukan menguruskan rumah tangga biasanya ibu ini lupa untuk menjaga kesihatan diri sendiri dan ini menyukarkan mereka untuk mengurus diri sendiri, anak-anak dan pergerakan menjadi terhad.

“Untuk makluman juga obesiti juga merupakan faktor yang berisiko menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk diabetes, penyakit buah pinggang kronik, termasuk sindrom ovari polisistik (PCOS),” katanya ketika ditemu bual dalam program FYI@JAPEN Sabah, di sini pada Selasa.

Menyentuh implikasi psikologi, Dr. Sofia Annaim memberitahu remaja perempuan atau wanita yang mempunyai masalah obesiti cenderung untuk membentuk keyakinan diri yang rendah hasil reaksi negatif yang diterima daripada masyarakat.

“Obesiti salah satu isu yang sangat dekat dengan hati wanita, ramai wanita berasa takut untuk keluar rumah hanya kerana bimbang dikecam kerana penambahan berat badan dan kita perlu sedar bahawa obesiti bukanlah sesuatu yang terjadi secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada pelbagai faktor yang mempengaruhi kehidupan wanita ini mungkin sejak mereka masih kecil.

“Obesiti juga berkaitan dengan masalah psikologi di mana dalam tempoh remaja biasanya dari umur 12 hingga 18 tahun keyakinan diri menjadi perkara yang sangat penting di mana mereka sering kali merasa rendah diri selain menjadi mangsa buli dan sering ditertawakan,” katanya.

Tegasnya, adalah sangat penting untuk wanita mengubah gaya hidup dan pemakanan kepada yang lebih sihat termasuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersukan secara berperingkat.

“Pentingnya mempunyai kesedaran menurunkan berat badan dengan cara yang sihat dengan mengubah cara pemakanan kita kepada pemilihan makanan lebih segar dan berkhasiat seperti lebih banyak sayur-sayuran dalam diet.

“Belajar untuk mengawal stres, jaga kesihatan dan yang paling penting jangan meletakkan motivasi untuk kurus kerana pasangan atau orang lain, fokus untuk mengurangkan berat badan dengan meletakkan objektif demi kesihatan diri sendiri yang lebih baik,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda