
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
BATU PAHAT, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Alat muzik bertali yang dibawa dari selatan Yaman di Timur Tengah, gambus merupakan alat permainan muzik berunsur Arab dan ghazal yang dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab yang berniaga di Singapura pada awal abad ke-20.
Di Malaysia, terdapat dua jenis gambus yang dikenali secara umum sebagai gambus Hadramaut yang mempunyai 11 tali manakala gambus Hijaz mempunyai lapan tali.

Halidan mula membuat gendang dan kompang pada tahun 1996 dan mempelajari seni pembuatan gambus dari arwah Pak Hassan, seorang pembuat gambus yang terkenal pada tahun 1970-an di negeri Johor.
Kebanyakan daripada gambus ini berkembang menerusi kemahiran tukang-tukang yang terdapat di Johor dan Kedah.
Mengulas mengenai keunikan gambus Johor, seorang pembuat gambus Halidan Ithnin, 58, berkata gambus-gambus yang dihasilkan olehnya sentiasa menerapkan ciri-ciri istimewa dari kehidupan orang Melayu terutamanya pemilihan kayu dalam proses pembuatannya.
“Saya cuba wajahkan gambus ini dengan ciri orang Melayu menerusi penggunaan kayu yang diperolehi dari kawasan setempat seperti kayu pokok koko atau pokok durian yang hidup dan bernafas bersama saya.
“Dari segi dekorasinya, saya ubah dari corak Arab dan geometri Islam kepada alam Melayu seperti lada hitam sebagai motif imej gambus dari negeri Johor,” katanya ketika ditemui di bengkel Teratak Dendang Bakti Aswara miliknya, di Kampung Parit Hailam, Senggarang, di sini semalam.
Dalam pada itu Halidan, menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap agensi kerajaan yang memberi sokongan dan menyalurkan dana bagi memastikan warisan orang-orang lama ini tidak dilupakan.

Halidan Ithnin bersama anggota Jabatan Penerangan Negeri Johor ketika temu bual dalam program Influencer@JaPen Johor di bengkel Teratak Dendang Bakti Aswara miliknya, di Kampung Parit Hailam, Senggarang, Batu Pahat.
“Pada tahun 2015, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Johor ada menghulurkan bantuan peruntukan dibawah inisiatif ‘Satu Daerah, Satu Industri’ untuk membeli bahan mentah dan peralatan bagi membuat gambus.
“Saya juga ada mendapat bantuan alat pertukangan dan tunjuk ajar daripada Kraftangan Malaysia selain dilantik sebagai Adiguru Kraf pada tahun 2023,” katanya.
Harapan Halidan agar kesenian gambus ini kekal dan keunikan budaya orang Melayu ini terus berkembang di bumi Johor untuk diwarisi oleh generasi muda.
-ZS-