
Oleh : Daniel Jong
SEREMBAN, 21 Mei (Malaysiaktif) – Konsert Caklempong Ekstravaganza 2016 pada tahun ini menampilkan kelainan dan keunikan dengan persembahan yang menggabungkan 20 orang pemuzik caklempong daripada beberapa kumpulan caklempong di sekitar Negeri Sembilan.
Konsert yang diadakan di Auditorium D’sury, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan adalah sempena Program Merakyatkan Seni yang berperanan sebagai perantaraan di antara masyarakat umum dengan seni budaya yang kian dilupakan pada zaman kini. Konsert ini sudah masuk tahun ketiga pelaksanaannya sejak tahun 2014 dan telah pun mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat di negeri ini.
Pengarah JKKN Negeri Sembilan Mohd Radzi Omar ketika ditemui memberitahu bahawa konsert ini juga bertujuan untuk memartabatkan seni muzik caklempong agar dapat terus relevan sebagai identiti Negeri Sembilan.
“Bukan sahaja kita mahukan caklempong ini menjadi satu seni dan identiti di Malaysia, malah kita mahu generasi muda menjadi prihatin terhadap warisan negara ini. Pada masa yang sama kita inginkan juga seni muzik caklempong ini dapat dibawa dan dimainkan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, pelbagai medium kita gunakan untuk mempromosikan seni ini di samping memasukan konsert ini di dalam kalendar acara tahunan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” demikian tambahnya lagi.
Konsert yang dirasmikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Sri Hamidah Khamis ini juga dimeriahkan dengan penampilan khas oleh Dato’ Ramli Sarip dan Dato’ Khatijah Ibrahim. Artis lain yang diundang termasuklah kumpulan busker Genji dan Farawahida.
Acara sampingan juga dianjurkan termasuklah persembahan caklempong di beberapa pusat membeli-belah di bandar Seremban yang diadakan sepanjang bulan Mei ini. Bazar Seni yang dibuka di perkarangan pejabat JKKN turut memberi peluang para pengiat seni untuk menjual hasil tangan mereka. Produk asli dari Negeri Sembilan juga turut dijual di bazar ini.
Para penonton yang hadir ke konsert ini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM 10 bagi kanak-kanak dan pelajar manakala RM 20 bagi dewasa.
Turut hadir di konsert ini adalah Datin Sri Salbiah Tengku Nujumudin iaitu isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Emieryati dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hasan.