
Laporan/foto: Joel Jale@Jabu (Sarawak)
LIMBANG, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Sarawak kaya dengan pelbagai keunikan adat resam yang masih diamalkan sehingga ke hari ini dan salah satu upacara yang masih diamalkan adalah upacara ‘Miring’ yang sering dilakukan oleh kaum Iban di Sarawak walaupun ramai kaum Iban yang sudah menganuti agama lain.

Bahan-bahan utama dalam Piring ‘Miring’.
Bagi kaum Iban yang masih berpegang kepada kepercayaan lama, upacara ‘Miring’ adalah salah satu upacara berdoa kepada ‘Petara’ bagi memberkati, melindungi, membawa kebahagian, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat Iban selain mengelakkan sebarang malapetaka yang mungkin menimpa.
Namun begitu, upacara ‘Miring’ turut akan diadakan sebelum sesuatu aktiviti penting diadakan atau selepas berlakunya malapetaka yang tidak diingini menimpa penduduk rumah panjang.
Menurut pesara Jangan Bakar, 64, upacara ‘Miring’ kini tidak lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat Iban kerana ramai yang sudah memeluk agama lain seperti Kristian dan sebagainya.

Jangan Bakar, pesara Majlis Daerah Limbang.
“Oleh itu, tujuan upacara ‘Miring’ kini semakin tidak dikenali oleh generasi muda sekarang.
“Dalam kepercayaan masyarakat Iban terdapat beberapa peringkat atau tahap penggunaan ‘Piring’ iaitu ‘Piring Tiga’, ‘Piring Lima’, ‘Piring Tujuh’, ‘Piring Lapan’ dan ‘Piring Sembilan’,” katannya.
Tambahnya, kesemua ‘Piring’ ini membawa maksud tersendiri seperti ‘Piring Tujuh’ membawa maksud ‘Piring Gawai’ atau ‘Piring Bujang Berani’ (Pahlawan).
-ZS-