Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Ehsan Mart Menawarkan Harga Barangan Berpatutan

By 4 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Sazarina Mohd Noor/Pusat Khidmat Masyarakat Pandan Indah

PANDAN, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart DUN Pandan Indah menawarkan harga barangan berpatutan untuk kemudahan orang ramai berbanding harga pasaran.

Sesi gimik perasmian pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart oleh Izham.

Pelbagai barangan keperluan asas ditawarkan dengan potongan harga yang menjimatkan antaranya telur, makanan laut sejuk beku dan barangan keperluan rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Industri Asas Tani Datuk Ir. Izham Hashim,  berkata pasar raya ini bukan sekadar sebuah kedai, ia merupakan simbol komitmen kita untuk memastikan rakyat mendapat manfaat langsung daripada inisiatif negeri.

“Kita mahu membina ekosistem yang menyokong petani, usahawan tempatan dan pengguna dalam satu rangkaian rantaian bekalan yang mampan.

“Saya menyeru kepada semua penduduk sekitar untuk menyokong usaha ini dan memanfaatkan peluang membeli-belah di Ehsan Mart untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang kompetitif dan berkualiti serta Jualan Ehsan Rahmah (JER) akan turut diadakan di pasar raya ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pembukaan pasaraya itu, di sini kelmarin.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Datuk Wira Gs. Dr. Mohamad Khairil Mohamad Azri, penubuhan pasar raya ini adalah visi untuk menyediakan akses kepada barangan asas yang berkualiti pada harga mampu milik, khususnya kepada golongan B40 dan M40.

Antara pengunjung yang hadir dalam program tersebut.

“Dengan diskaun harga antara 15 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran, Ehsan Mart bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat Selangor dan berfungsi sebagai pusat agihan makanan sekiranya berlaku bencana atau darurat,” katanya.

Majlis Perasmian Pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart yang kedua ini turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr. Ani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sri Ternak Sdn. Bhd. Datuk Raymond Ho Cheng Hann.

-ZS-

Tinggalkan komen anda