
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)
KUCHING, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Pesta Makan Durian dengan tema ‘Jak Man Jejak’ di Kampung Sadir telah menghidangkan lebih kurang 700 biji buah durian segar percuma termasuk buah rambutan dan manggis kelmarin.
Kesemua buah-buahan tersebut telah yang disediakan oleh JKK Kampung Sadir untuk dijamu kepada semua pengunjung yang hadir ke pesta tersebut.
Kampung Sadir ialah kampung penempatan etnik Bidayuh Padawan yang letaknya lebih kurang 65 kilometer dari sini adalah sebuah Kawasan yang tanahnya masih subur dan baik kepada penanaman pokok buah-buahan.

Micheal Ouk, salah seorang daripada AJKK Pengelola Pesta Makan Durian Kampung Sadir kemarin.
Menurut Micheal Ouk, 64 tahun, salah seorang dari AJKK Pengelola Pesta Makan Durian, pesta pada tahun ini adalah kali keempat dianjur oleh penduduk Kampung Sadir dan setiap kali ia mendapat sambutan yang amat baik dari penduduk setempat dan juga sekitar Kuching.
“Pada tahun ini, durian sangat menjadi (berbuah lebat) sehingga tidak mampu lagi dimakan atau dijual dan harga durian juga merudum akibat raja buah itu sudah terlampau banyak di sekitar Kuching dan Pedawan.
“Oleh kerana durian sudah berlambak dan murah, pengunjung yang datang biasanya membeli secara borong untuk dibawa balik ke tempat masing-masing untuk dijadikan tempoyak dan hidangan bersama keluarga,” ujar beliau ketika ditemui kemarin.

Raelo Saming, salah seorang daripada pengunjung dari Kuching yang sanggup datang meskipun jaraknya 65 kilometer dari kediaman beliau.
Bagi Raelo Saming, 63 tahun pula, beliau yang pertama kali berkunjung ke Kampung Sadir berasa teruja melihat kerjasama penduduk kampung menyediakan buah durian yang begitu banyak untuk dijadikan jamuan kepada pengunjung yang hadir.
Lebih kurang 500 orang pengujung telah hadir ke pesta tersebut.
-RJ-