
Laporan/foto: Petrus Ngalih Tingi (Sarawak)
Kuching, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Seni ‘Parang Ilang’, simbol keagungan budaya masyarakat Iban di Sarawak, kini berdepan dengan ancaman kepupusan akibat arus globalisasi dan pembangunan moden.
Dalam usaha untuk memastikan seni tersebut terus dilestarikan, Dr. Adilawati Asri, seorang penyelidik berusia 35 tahun dari Perlis dan graduan Doktor Falsafah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), telah menjalankan kajian bertajuk Kearifan Tradisi Seni ‘Parang Ilang’ dalam Budaya Masyarakat Iban di Sarawak.
Menurut Dr. Adilawati, seni parang ilang bukan sekadar artifak sejarah, tetapi juga simbol intelektual dan aspirasi budaya masyarakat Iban.
“Seni parang ilang mencerminkan hubungan erat masyarakat Iban dengan alam semula jadi serta melambangkan identiti budaya yang unik dan kaya dengan nilai falsafah,” katanya semalam.

‘Parang Ilang’, Parang turun menurun msayarakat Iban di Sarawak.
Seni ‘Parang Ilang’, yang digunakan dalam upacara adat dan kehidupan seharian masyarakat Iban, memainkan peranan penting dalam mencerminkan status, kepercayaan, dan ketahanan budaya mereka.

‘Parang Ilang’, sebagai simbol kepahlawanan kaum Iban.
Dr. Adilawati juga berkongsi bahawa pengalaman beliau tinggal di rumah panjang masyarakat Iban yang memberi gambaran yang lebih mendalam tentang kehidupan mereka dan amalan budaya mereka.
Katanya, kajian tersebut juga bertujuan memastikan seni parang ilang terus dihargai, relevan, dan terus menjadi warisan kebanggaan masyarakat Iban, melambangkan keindahan dan identiti budaya mereka di mata dunia.
-RJ-