Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kertuk: Alat Muzik Tradisional Rakyat Terus Diminati

By 12 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto oleh Mohd Suhaidi Mat Jusoh

KOTA BHARU, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Kertuk adalah alat muzik tradisional rakyat yang diwarisi sejak turun-temurun dan masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Alat muzik ini lazimnya dimainkan selepas musim menuai padi atau dalam majlis keramaian bagi memeriahkan suasana.

Keunikan alat muzik kertuk terletak pada keupayaannya dimainkan sehingga lima jam tanpa henti, mengikut rentak dan irama tertentu.

Setiap kertuk boleh dimainkan oleh dua orang secara bergilir-gilir menjadikan persembahan lebih dinamik dan menghiburkan.

Harun Awang (kanan) bersama rakan pemalu kertuk.

Pada masa kini, alat muzik kertuk masih diteruskan dalam majlis perayaan dan acara rasmi sebagai salah satu warisan budaya yang patut dikekalkan.

Menurut Nordin Che Mahmud, 49, dari Kampung Chetok, Pasir Mas, alat muzik ini bukan sekadar hiburan tetapi juga lambang semangat dalam sesuatu majlis.

“Kertuk adalah alat muzik warisan masyarakat Melayu dan apabila dimainkan, ia mencetuskan suasana meriah serta menaikkan semangat para pendengar,” katanya ketika ditemui pada Perlawanan Akhir Merebut Piala Menteri Besar Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Nordin yang juga ketua Pasukan Kertuk Serendah Chetok, berkata pasukannya membawa 12 biji kertuk bagi memberikan sokongan moral kepada pemain bola sepak di atas padang.

Seorang lagi pemain kertuk Harun Awang, 65, dari Kampung Atas Beting, Chetok, berkongsi pengalaman bermain kertuk sejak puluhan tahun lalu.

“Minat saya timbul apabila mendengar rentak paluan kertuk yang membangkitkan semangat dan nostalgia zaman dahulu.

“Harapan saya agar alat muzik ini terus diwarisi oleh generasi muda agar tidak hilang ditelan zaman,” ujarnya.

Kok Gray (depansekali kiri) pemalu gendang rebana ubi kaum Cina.

Dalam pada itu, Kok Gray, 44, dari Pasir Mas menegaskan kepentingan meneruskan alat muzik tradisional rakyat sebagai medium perpaduan antara kaum.

“Alat muzik tradisional mempunyai nilai istimewa dalam mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya yang turut bermain dalam pasukan kertuk ubi mewakili kaum Cina.

Sementara itu, dalam perlawanan bola sepak Merebut Piala Menteri Besar Kelantan 2024, pasukan Pengkalan Kubor FC dinobatkan sebagai juara setelah mengalahkan pasukan Chetok FC melalui sepakan penalti 4-3.

Perlawanan ini berjaya menarik hampir 5,000 penonton yang hadir untuk menyaksikan aksi sengit di stadium.

Alat muzik kertuk yang dimainkan sepanjang perlawanan telah menyemarakkan semangat para pemain dan penonton, sekali gus membuktikan bahawa warisan budaya ini masih relevan dan terus mendapat tempat dalam masyarakat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda