
Laporan/foto: M. Sanusi Hassan
TUMPAT, 18 Februari (MalaysiaAktif) – Budu tempayan kekal menjadi pilihan utama rakyat Kelantan, terutama yang dihasilkan secara tradisional.
Wan Safiyyah Wan Yusoff, 47, atau lebih dikenali sebagai Kakyah Budu Tempayan berasal dari Kampung Geting, Tumpat, merupakan salah seorang pengusaha budu tempayan yang masih mengekalkan kaedah pembuatan warisan turun-temurun.

Usahawan budu tempayan di Negeri Kelantan
Menurut Kakyah, budu dihasilkan daripada perapan ikan bilis yang diperoleh daripada nelayan sekitar Kampung Geting.
Proses peraman ini mengambil masa antara lima hingga enam bulan bagi mendapatkan pati ikan bilis berkualiti tinggi, dengan campuran ramuan rahsia yang menjadikannya lebih enak.

Antara produk lain yang dijual di gerai Kakyah Budu Paye
Selain menjual secara borong dan runcit kepada pelanggan, Kakyah turut menerima kunjungan pelajar universiti yang menjalankan kajian mengenai pemakanan dan proses pembuatan budu.
Kakyah juga menerima sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Bantuan yang diterima merangkumi peti ais, tong perapan ikan bilis, serta latihan dalam pembuatan budu secara komersial.
Usaha ini bukan sahaja membantu mengekalkan tradisi pembuatan budu tempayan, tetapi juga membuka peluang kepada lebih ramai pengusaha tempatan untuk terus mengembangkan industri makanan warisan negeri Kelantan.
-AA-