Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Dron Pertanian Tingkat Kecekapan dan Hasil Pengeluaran Padi

By 17 Februari 2025Februari 19th, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Penggunaan teknologi moden dalam industri pertanian semakin digalakkan bagi meningkatkan mutu dan produktiviti pengeluaran terutamana industri tanaman padi, dron terbukti berkesan bukan sahaja dalam menjimatkan masa dan tenaga selain meningkatkan hasil tuaian.

Pesawah muda, Mohd Zulkarnain Othman, 30, dari Kampung Bendang Gual Ipoh, di sini, berkata penggunaan dron sangat penting dalam usaha menghasilkan padi yang lebih bermutu serta mengurangkan kos buruh.

“Dron digunakan untuk menabur benih padi, baja, serta membasmi haiwan perosak seperti tikus dan langau. Dengan adanya dron, kerja-kerja ini dapat dilakukan dengan lebih cepat dan efisien,” katanya ketika ditemui di sawah bapanya di kampung tersebut, kelmarin.

Dron milik ZuLkarnain Othman berharga RM30 ribu digunakan menabur benih baja padi dan membasmi makhluk perosak.

Menurutnya, keluasan sawah bapanya yang mencecah 40 ekar memerlukan teknologi seperti dron bagi memudahkan kerja-kerja pertanian.

“Dron ini boleh beroperasi di udara selama dua hingga tiga jam untuk menabur benih atau menyembur racun serangga. Teknologi ini benar-benar membantu kami sebagai pesawah moden,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pelarasan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, beliau meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha mendengar keluhan pesawah.

“Kami sebelum ini terhimpit dengan kenaikan harga baja, benih, dan kos operasi lain.

“Dengan pelarasan harga ini, ia sedikit sebanyak membantu kami meneruskan kelangsungan hidup sebagai pesawah,” katanya.

Seorang lagi pesawah muda, Masasikal Mohamad, 43, dari Kampung Bendang Cermin, Gual Ipoh turut bersetuju bahawa penggunaan dron amat membantu, terutamanya bagi sawah yang luas dan terletak jauh di pedalaman.

“Dulu, kami perlu turun ke bendang setiap hari untuk memantau tanaman, tetapi kini hanya perlu duduk di wakaf dan mengawal dron dari jauh.

“Hasilnya lebih baik dan kerja pun lebih mudah,” katanya.

Penggunaan dron bagi proses kawalan makhluk perosak.

Pesawah veteran, Mat Zin Abas, 79, dari Kampung Ipoh, berkata perkembangan teknologi pertanian ini dilihat sebagai satu perubahan besar berbanding zamannya dahulu.

“Zaman pakcik dulu, semua kerja dilakukan secara tradisional dan gotong-royong.

“Sekarang, banyak alat moden termasuk dron digunakan, lebih-lebih lagi dengan adanya bantuan kerajaan,” katanya.

Penggunaan dron dalam industri penanaman padi jelas membawa manfaat besar kepada pesawah, bukan sahaja dari segi pengurusan ladang yang lebih sistematik tetapi juga dalam meningkatkan hasil dan kualiti pengeluaran padi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda