
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
PASIR MAS, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Peranan komuniti dalam memperkukuh perpaduan terus diperkuatkan melalui pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk penganjuran program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk setempat.
Terbaru, Karnival Rakyat Keluarga Madani yang diadakan di Perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Chenok, di sini menjadi platform penting dalam menyampaikan dasar kerajaan serta mempromosikan konsep Malaysia Madani.

Zarina Zakaria (tengah) meninjau dan melihat pameran jualan yang diadakan sambil diperhatikan oleh Mohd Afifi Mohd Nor (kiri).
Karnival ini dianjurkan bersama oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Binjai, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kubang Chenok, agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan (JPNIN) Zarina Zakaria, program seumpama ini mencerminkan semangat kekitaan dan kerjasama dalam komuniti.
“Program ini adalah satu platform untuk menguar-uarkan maklumat dasar dan inisiatif kerajaan serta saluran untuk menyampaikan mesej perpaduan kenegaraan dan perkhidmatan berteraskan konsep Malaysia Madani kepada komuniti setempat,” katanya.
Zarina turut menekankan kepentingan peranan Rukun Tetangga (RT) dalam komuniti.
“Setelah 50 tahun penubuhan Rukun Tetangga, banyak transformasi telah berlaku, khususnya di bawah Akta Rukun Tetangga 2012, yang meletakkan tanggungjawab sebagai peneraju keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Guru Besar SK Kubang Chenok Mohd Kamil Ismail, berkata kolaborasi erat antara KRT, ibu bapa dan guru dapat memberikan manfaat besar kepada pelajar.
“Amatlah wajar program seumpama ini diadakan bagi kepentingan pelajar dan ibu bapa yang bekerjasama dengan guru untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Rosmadi Mohd Nor bersama motosikal yang dimenangimya.
Seorang pengunjung, Mohd Rosmadi Md. Nor, 47, dari Kg. Kubang Chenok, yang turut memenangi cabutan bertuah berupa sebuah motosikal, menyambut baik penganjuran program tersebut.
“Syukur, alhamdulillah program ini berjaya merapatkan hubungan antara ibu bapa dan guru.
“Hadiah ini juga memudahkan saya bekerja dan ke masjid,” ujarnya.
Program ini berjaya menarik kehadiran sekitar 500 orang pelajar dan ibu bapa.
Turut hadir ialah Pengerusi KRT Kampung Binjai Mohd Afifi Mohd Nor, Timbalan Pengarah JPNIN Mohd Anuari Yusuf @ Mustapha, Pegawai JPNIN Pasir Mas Mohd Zulkarny Salleh serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
-ZS-