Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

NADI Kampung Parit Selamat Bantu Komuniti Kuasai Teknologi Terkini

By 10 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dibuka di Kampung Parit Selamat, Yong Peng mampu melonjakkan taraf hidup penduduk setempat sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat.

NADI Kampung Parit Selamat juga menyediakan ruang untuk murid sekolah belajar secara atas talian

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Ling Tian Soon, berkata pembukaan NADI ini juga memberi nilai tambah kepada kesejahteraan masyarakat selain merapatkan jurang digital antara penduduk kawasan bandar dengan luar bandar.

Kaunter saringan kesihatan juga disediakan oleh pihak NADI bagi memudahkan masyarakat setempat membuat saringan kesihatan secara asas

“Peranan NADI bukan sahaja menyebar maklumat bagi pihak kerajaan tetapi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi NADI boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyampaikan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri kepada masyarakat terutamanya mengenai 252 inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya ketika ditemui sempena majlis perasmian NADI Kampung Parit Selamat, di sini semalam.

Tambah Ling Tian Soon, NADI membuka peluang kepada komuniti setempat dan juga komuniti yang berhampiran untuk menguasai teknologi komunikasi terkini, meningkatkan kemahiran diri, serta merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

“NADI juga menjadi pusat rujukan masyarakat berkenaan isu atas talian atau scammer dan sekiranya masyarakat menerima sebarang maklumat tidak sahih boleh datang ke NADI untuk mendapatkan pandangan petugas di sini sama ada sahih atau tidak,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng.

Setakat ini, sebanyak 11 NADI baru telah dibangunkan daripada 101 NADI di Johor di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI dan NADI Kampung Parit Selamat telah disiapkan sepenuhnya pada 11 November tahun lalu.

Turut hadir, Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Mohamad Rizal Ahmad, Penolong Pengarah Penerangan Negeri Johor Abdul Rahman Abdul Halim dan Pengarah Wilayah Selatan Maxis Mazlan Mokhtar.

-AA-

Tinggalkan komen anda