
Laporan/foto: Rose Ryqal/Zai Zack (Klang)
KLANG, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Raja Muda Musa telah berjaya melaksanakan program kemasyarakatan gotong-royong ‘Kacau Bubur Lambuk’ bersama masyarakat setempat, di sini semalam.
Bubur lambuk yang merupakan menu tradisional di bulan Ramadan disediakan sendiri oleh Ketua Komuniti, Razaliza Ahmad Baijubri dan isterinya, Siti Norazizah Azami serta dibantu ahli jawatankuasa Komuniti MADANI Raja Muda Musa yang lain.

Selain bubur lambuk, bahan penerbitan Jabatan Penerangan turut diedarkan kepada masyarakat setempat.
“Bubur lambuk kami pernah menyertai pertandingan yang dijuri oleh chef dari Istana Klang dan Hotel Concorde.
“Alhamdulillah, kami mendapat tempat naib juara,” kata Razaliza.
Program ini turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee dan Ahli Majlis N47C Majlis Bandaraya Diraja Klang Ang Kian Wah.
Komuniti MADANI bersama kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Klang telah mengedarkan 300 bekas bubur lambuk kepada masyarakat sekitar di Stesen Minyak Shell Jalan Kim Chuan.
-ZS-