Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Studio Fotografi Bertemakan Hari Raya Semakin Popular di Pendang

By 13 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Sejak kebelakangan ini, sudah menjadi trend atau kewajipan bagi kebanyakan pasangan dan ahli keluarga untuk mengabadikan foto kenangan di studio fotografi khususnya apabila menjelang sambutan Aidilfitri.

Tidak terlepas daripada mengikuti trend semasa yang semakin popular ini, bekas jurugambar Utusan Malaysia, Halim Khalid, 60, memulakan perniagaan studio fotografi yang dikenali sebagai Pendang Photo Studio (PPS) sejak dua tahun lalu bertempat di Bangunan Beringin di sini.

Konsep Tradisional Klasik Outdoor yang disediakan di Mini Studio di Kampung Sungai Jagung, Paya Mak Insun yang berjaya menambat hati pelanggan.

“Walaupun masih baharu dalam bidang ini, kami sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan dan konsep yang menarik untuk kepuasan setiap pelanggan.

“Namun, kapasiti ruangan yang terhad dan agak sempit di sini tidak dapat memuatkan pelanggan yang berkunjung dalam kumpulan yang besar pada satu-satu masa,” ujarnya.

Bagi menjamin keselesaan pelanggan dan menyediakan pelbagai pilihan pakej menarik, Halim dengan bermodalkan simpanan sendiri telah mendirikan sebuah Mini Studio yang lebih luas berhampiran kediamannya di Kampung Sungai Jagung, Paya Mak Insun.

“Mini Studio ini lebih menarik kerana kami membawakan dua konsep latar belakang yang berbeza iaitu moden kontemporari dan tradisional klasik sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Selain daripada menyediakan khidmat jurugambar, kami turut menyediakan perkhidmatan berfoto sendiri (self-photo) dan orang ramai juga turut berpeluang merasai pengalaman dan mencipta kenangan dengan mengambil pakej Spin Camera 360 iaitu rakaman video dengan gaya yang semakin popular,” katanya.

Selain musim perayaan, Halim juga tidak menang tangan apabila tiba musim konvokesyen kerana PPS turut menyediakan perkhidmatan rakaman gambar konvokesyen kepada Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berhampiran.

Konsep moden kontemporari yang disediakan bagi pelanggan yang memilih pakej self-photo.

Semenjak menjadi pengusaha studio fotografi ini, Halim mengakui pelbagai cabaran terpaksa dihadapi tambahan pula wujudnya persaingan di antara jurufoto muda yang lebih kreatif dan mempunyai peralatan yang lebih canggih.

“Setelah berhabis lebih kurang RM100 ribu untuk kedua-dua buah studio, saya tidak boleh gentar dan mengalah.”

“Dengan adanya sokongan seluruh ahli keluarga dan anak-anak juga membantu mempromosikan perniagaan ini melalui platform media sosial seperti Facebook dan TikTok, saya berharap agar dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai,” ujarnya mengakhiri perbualan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda