Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Perjuangan ‘Dropshipper’ Semporna Demi Kelangsungan Hidup

By 17 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Abdul Hadi Abdul Ghani/Mazlan Mohd Yusuf (Semporna)

SEMPORNA, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Demi kelangsungan hidup, setiap individu mencari rezeki dengan cara yang berbeza, bergantung pada keadaan dan cabaran hidup yang mereka hadapi.

Di tengah perairan Semporna yang tenang dan jauh dari kemudahan moden, mencari rezeki suatu perjuangan yang penuh cabaran buat penjual hasil laut atau juga dikenali sebagai ‘dropshipper’.

Berbekalkan sampan kecil, mereka menjual hasil laut seperti siput, udang kara dan udang galah ke resort berhampiran secara manual dengan mendayung tanpa bantuan teknologi moden.

Kanu, mengharungi perjalanan jauh di laut untuk menjual hasil tangkapan laut kepada tauke kelong dan resort-resort berhampiran sekitarnya.

Bagi Kanu Lala, 46, menjadi ‘dropshipper’ adalah satu-satunya sumber pendapatannya untuknya menyara keluarga biarpun pekerjaan itu berisiko dengan cuaca yang tidak menentu.

“Kami tidak ada sumber pendapatan lain selain menjadi ‘dropshipper’ kepada tauke kelong (rumah rakit) dan menjual hasil tangkapan laut kepada resort-resort dengan setiap harga makanan laut yang dijual bergantung kepada spesies dan saiz.

“Sebagai contoh, udang kara bersaiz besar yang berharga RM50 seekor boleh dijual pada harga RM60, mengambil kira kesukaran mengendalikan sampan yang hanya menggunakan pendayung untuk ke kelong di tengah laut, selain risiko cuaca buruk seperti angin kencang, hujan lebat dan laut bergelora,” katanya ketika ditemui di Pulau Mabul di sini pada Ahad.

Tambahnya, kebanyakan penjual hanya menjual kembali hasil laut daripada pemilik kelong atau ada di antara yang menangkap sendiri hasil laut menggunakan joran tradisional.

“Ramai pelancong beranggapan bahawa makanan laut seperti itu kami tangkap atau pelihara sendiri tetapi tidak, kami tinggal di dalam perahu, tiada peralatan untuk memukat di laut dalam atau membina kelong sendiri malah memancing pun menggunakan joran tradisional.

“Situasi kini berbeza, dahulu pelancong asing dan domestik sering melawat Pulau Mabul dan pulau-pulau sekitarnya seperti Pulau Kapalai, namun kini jumlah pelancong semakin berkurang.

Idah ‘dropshipper’ yang gigih, menjual siput kahanga ke resort-resort di sekitar Semporna.

“Atas sebab itu, kami terpaksa menjual ikan kepada penduduk tempatan yang kebanyakannya menawarkan harga yang sangat rendah, sehingga kami hanya cukup-cukup balik modal,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penjual hasil laut, Idah Imah, 38, berkata, menjadi ‘dropshipper’ adalah kaedah terbaik untuk mendapat wang dengan cepat iaitu dengan menjual siput kahanga di resort Kapalai atau resort sekitarnya.

“Saya pernah cuba menjual siput kahanga di pekan Semporna, tetapi sambutannya kurang menggalakkan di kalangan masyarakat setempat.

“Selain itu, terdapat kanak-kanak yang berperahu menjual kelapa muda yang diperoleh daripada penduduk setempat kepada pelancong di resort atau lokasi menyelam bagi membantu menyokong ekonomi keluarga,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda