Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bersihkan Kawasan Kediaman, Cegah Pembiakan Aedes

By 20 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Moh. Haziman Abdul Rahman /Wolfrum Wilfred (Tongod)

TONGOD, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Masyarakat perlu sentiasa diingatkan untuk memastikan kawasan sekitar kediaman bebas daripada tempat-tempat yang mengandungi air bertakung bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

Masrof (kanan) bersama Johnrey (baju hijau) dan Mohammad Hafizuddin sedang bergotong-royong membersihkan kawasan kampung.

Kitaran nyamuk Aedes mengambil masa sekitar dua minggu bermula daripada telur, jentik-jentik, kepompong, sehingga menjadi nyamuk dewasa seterusnya memulakan semula kitaran pembiakan di kawasan air bertakung.

Ketua Program Rancangan Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Tongod, Dr. Mohammad Hafizuddin Mohammad Ridzuan berkata, penyakit denggi ini merebak melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti sebelum ini.

“Penyakit ini disebarkan oleh nyamuk spesies Aedes yang menggigit manusia dan di Sabah terdapat dua jenis utama, iaitu Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus, di mana proses ini bermula apabila nyamuk dewasa mencari air bersih yang bertakung sebagai tempat untuk bertelur.

“Penting untuk memastikan kawasan sekitar rumah sentiasa bebas daripada tempat-tempat yang mengandungi air bertakung, seperti dalam bekas tertutup, longkang tersumbat atau saliran air yang tidak lancar bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes,” jelasnya ketika ditemui semasa program gotong-royong pencegahan nyamuk Aedes di Kampung Maliau di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Komuniti Madani Kampung Maliau, Johnrey Rambakon berkata, program tersebut wajar diadakan bagi memastikan kes demam denggi di kawasan tersebut dapat dielakkan daripada terus meningkat.

“Program ini bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada penduduk kampung kepentingan menjaga kebersihan, terutama selepas berlakunya satu kes demam denggi di kawasan tersebut beberapa minggu lalu.

Lawatan dan Penilaian pertandingan rumah terbersih sempena Program Jiwa@Komuniti MADANI Kemasyarakatan, Komuniti Madani Kampung Maliau, Tongod di sini semalam.

“Walau bagaimanapun, setelah selesai melakukan tinjauan dan pemeriksaan bersama petugas kesihatan, kami mendapati tahap kebersihan rumah di kampung ini masih belum menepati piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan,” ujarnya.

Sementara itu, setiausaha Komuniti MADANI Kampung Maliau, Idahwati Gamies, 43, percaya program kesedaran perlu dipergiatkan terutama ke kawasan-kawasan pedalaman terutama langkah awal pencegahan penyakit Aedes.

“Saya berharap selepas program ini, penduduk kampung akan lebih sedar bahawa demam denggi sangat berbahaya dan merupakan pembunuh senyap sekiranya tidak ditangani lebih awal sekali gus menggesa mereka untuk menjaga kebersihan, bukan hanya di rumah tetapi juga di kawasan sekitar kampung ini,”terangnya.

Untuk makluman, melalui program Jiwa@Komuniti MADANI Kemasyarakatan itu juga, Komuniti Madani Kampung Maliau berpeluang menyertai kempen bebas denggi dengan menyertai pertandingan rumah terbersih sebagai usaha mencegah penyakit demam denggi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda