
Laporan/Foto: Luhat Ajang (Sarawak)
Sematan, 8 Apr (MalaysiaAktif) – Kampung Pueh, Sematan yang terletak dalam daerah Lundu merupakan sebuah tempat yang memikat hati dan menawan, dan lokasinya yang strategik berhadapan dengan Laut China Selatan sememangnya kaya dengan hasil lautnya dan keindahan alam semulajadi.
Kaum majoriti yang mendiami Kawasan ini adalah kaum Bidayuh Salako yang menjadikan laut terbentang luas sebagai sumber rezeki utama mereka selain dari mengusahakan tanaman padi sawah dan kelapa sawit.

Penduduk tempatan mengutip hasil ikan setelah ditarik ke daratan.
Bila tiba musim ikan, Pantai Pueh akan dipenuhi oleh penduduk setempat dan pengunjung seolah – olah seperti wujudnya pesta ikan bagi mereka yang hendak mendapatkan hasil tangkapan laut yang segar.
Menurut Maxwell Jirim, 41, lebih dikenali dengan nama Olai, berbangsa Salako memang berasal dari Kampung Pueh manakala isterinya yang berbangsa Bidayuh dari Serian turut akan mengambil peluang ini untuk menyertai saudara mara atau orang kampung untuk menangkap ikan di tepi pantai Pueh terutamanya ketika hujung minggu.
“Kali ini saya membawa isteri saya bersama untuk pergi menangkap ikan supaya dia dapat merasai sendiri pengalaman dan suasana bagaimana kami menangkap ikan di tepi pantai.
“Walaupun hasilnya tidaklah banyak namun pengalaman ini merupakan momen yang tak akan dilupakan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal jauh dari pantai dan hanya bergantung kepada ikan sungai,” kata Olai yang memang telah arif dalam aktiviti memancing dan menangkap ikan tepi pantai sejak kecil lagi.
Salah satu cara yang masih dipraktikkan masyarakat Salako sehingga sekarang adalah aktiviti ‘nyariring’ (pukat tarik tepi pantai) iaitu menangkap ikan dengan menarik pukat di tepian pantai.
Kaedah ‘nyariring’ ini memerlukan penglibatan dua atau tiga orang individu sama ada lelaki atau wanita dengan mengunakan ‘sariring’ iaitu pukat dalam dialek Salako yang terdiri daripada pelbagai jenis saiz jaringan mengikut pilihan individu atau nelayan.

Allister bersama sebahagian ikan yang diperolehinya semalam.
Keistimewaan aktiviti ‘nyariring’ ini adalah di mana kedua-dua hujung pukat akan diikat setiap satu pada sebatang kayu.
Langkah seterusnya adalah salah seorang individu akan memegang ‘sariring’ di tepi pantai dan seorang lagi akan menarik pukat tersebut ke arah laut sehingga aras bahu dalam keadaan yang selamat untuk beliau bergerak.
Menurut Allister Mering, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Stapok, Batu Kawa berkata dia berasa amat seronok kerana dapat menyertai aktiviti ‘nyariring’ ini bersama keluarganya.
“Sekurang-kurangnya saya dapat menimba pengalaman baru yang berbeza dan ini telah memberi peluang kepada saya untuk menenangkan minda dan fikiran saya serta berehat seketika dari aktiviti sekolah,” ujar Allister semalam.
-RJ-