Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

2,000 Penduduk Ulu Tembeling Hadir Jamuan Aidilfitri Bersama Sultan Pahang

By 20 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)

JERANTUT, 14 April (MalaysiaAktif) – Kira-kira 2,000 penduduk dari lima kampung sekitar Ulu Tembeling hadir memeriahkan Jamuan Aidilfitri bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Kampung Bantal, di sini, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda Tuanku disambut oleh penduduk kampung

Majlis yang berlangsung meriah itu menyaksikan pelbagai juadah tradisional disediakan secara gotong-royong oleh penduduk dari Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal dan Kampung Gusai, sebagai tanda kasih dan penghormatan kepada keberangkatan Baginda Tuanku.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat di Ulu Tembeling dan menyeru agar kawasan tersebut diberi perhatian dalam aspek pembangunan oleh pihak kerajaan.

Baginda bertitah, meskipun pembangunan penting untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, keindahan serta kecantikan alam semula jadi di kawasan itu perlu sentiasa dipelihara.

“Saya amat prihatin dengan kesejahteraan rakyat saya di Ulu Tembeling ini dan saya ingin melihat kawasan ini menerima pembangunan dari pihak kerajaan.

“Namun begitu, kawasan ini perlu sentiasa dipelihara keindahan dan kecantikan alam semulajadi,” titah Baginda.

Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku ke Kampung Bantal merupakan sebahagian daripada rangka lawatan selama tiga hari di kawasan pedalaman Ulu Tembeling.

-AA-

Tinggalkan komen anda