
Laporan/Foto: Mcwilkins Benadik (Sarawak)
KUCHING, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya dan makanan tradisional, dan salah satu hidangan yang menonjol dalam komuniti Cina adalah Bak Chang, yang sering menjadi juadah utama ketika Perayaan Duan Wu.

Chung berkongsi pengetahuan dan teknik tradisional pembuatan Bak Chang sempena Program JIWA@Komuniti MADANI.
Bak Chang lazimnya digambarkan sebagai makanan yang menyerupai ketupat dari segi bentuk, namun ia diperbuat daripada beras pulut yang dibungkus dalam daun palas serta diisi dengan pelbagai ramuan seperti daging, cendawan hitam, kacang tanah, ikan masin, buah berangan dan halia. Bahan tambahan seperti telur masin dan udang kering juga boleh digunakan untuk menambah keenakan rasa.
Dalam usaha memelihara warisan kulinari ini, Chung Chong Chong, 70, Ketua Komuniti MADANI Taman Riverview merangkap Ketua Kaum taman tersebut, berkongsi cara pembuatan Bak Chang bersama penduduk setempat sempena Program JIWA@Komuniti MADANI yang berlangsung di Dewan JKKK Taman Riverview, kelmarin.

Beras pulut yang telah digaul bersama inti daging, cendawan, kacang tanah dan bahan-bahan lain dimasukkan ke dalam daun palas sebagai langkah penyediaan awal.
“Bahan-bahan utama seperti daging dan cendawan hitam digoreng terlebih dahulu bersama rempah ratus, kicap masin, kicap pekat, lada dan gula. Setelah masak, ia dibiarkan sejuk sebelum digaul dengan beras pulut yang telah direndam selama lebih kurang 15 minit,” jelas beliau ketika ditemu bual.
Menurutnya lagi, semua bahan yang telah disediakan akan dimasukkan ke dalam lipatan daun palas, yang kemudiannya diikat dengan rapi bagi membentuk anyaman Bak Chang.

Ahli Komuniti MADANI Taman Riverview menunjukkan teknik menganyam dan mengikat daun palas untuk membentuk Bak Chang yang kemas dan padat.
Proses terakhir melibatkan merebus atau mengukus Bak Chang selama satu jam sehingga ia masak sepenuhnya.
Sebelum mengakhiri temu bual, beliau menyuarakan harapan agar generasi muda, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, dapat mempelajari dan meneruskan tradisi ini agar tidak dilupakan ditelan zaman.
-RJ-