
Laporan/foto: Nur Izzah Insyirah Mamat/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Suasana penuh mesra dan semangat kekitaan jelas terasa dalam Program Jiwa Sembang Santai Komuniti MADANI yang berlangsung meriah di Kampung Gong Baru dengan penyertaan penduduk setempat dan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini kelmarin.

Kanak-kanak tekun mewarna dalam pertandingan yang dianjurkan bagi mengasuh semangat kreativiti dan perpaduan sejak usia muda.
Program ini diadakan bersempena Program Anak Angkat yang melibatkan 41 mahasiswa, bertujuan memperkukuh hubungan antara komuniti dan menyemarakkan semangat Malaysia MADANI di peringkat akar umbi.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Gong Baru Mohd Hanafiah Ismail, program ini merupakan platform berkesan untuk mempererat silaturrahim dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.
“Pelbagai aktiviti menarik seperti sembang santai bersama komuniti, pertandingan mewarna kanak-kanak, gotong-royong dan pertandingan memancing berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Penduduk kampung dan mahasiswa UPM berentap secara santai dalam pertandingan memancing, mengukuh silaturahim sambil menikmati keindahan alam sekitar.
Mohd Hanafiah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya penduduk kampung dan mahasiswa UPM atas komitmen yang ditunjukkan.
“Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan dan menjadi contoh terbaik dalam membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” katanya.
Turut hadir merasmikan program ialah Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Saharrudin Mohamed yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.
-ZS-