
Laporan/foto: Wenny Di Tian Soh/Bonaventure Subin/Mohd Nor Isham Puasa (Keningau)
KENINGAU, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai yang berlangsung di Daerah Keningau berjaya memupuk kerjasama erat antara masyarakat setempat dan agensi-agensi kerajaan, di samping memperkasa literasi maklumat rakyat luar bandar.
Di samping memperkasakan literasi maklumat, program anjuran Jabatan Penerangan Sabah itu turut fokus kepada penyampaian dasar kerajaan serta perkhidmatan agensi secara bersemuka kepada rakyat.

Lainah ketika ditemui pada Program Jiwa@Komuniti MADANI di Dewan Datuk Ellron, Keningau.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Biah Tengah, Lainah Kunis, 51, menyifatkan, program sebegini sangat membantu masyarakat luar bandar yang sebelum ini sukar mendapat akses maklumat secara terus.
“Program ini membuka peluang kepada penduduk bertanyakan sendiri kepada pegawai berkaitan mengenai bantuan kerajaan serta menyuarakan keperluan atau isu yang mereka hadapi,” katanya ketika ditemui di Dewan Datuk Ellron, lokasi program berlangsung pada Sabtu.
Program ini turut diserikan dengan Jualan Rahmah MADANI Bergerak anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan kerjasama Komuniti MADANI Biah.

Ampaon menyuarakan pandangan agar lebih banyak agensi kerajaan dilibatkan dalam program akan datang.
Sementara itu, seorang pesara, Ampaon Ampasok, 70, berharap program seperti ini diteruskan secara berkala dan diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak agensi terutama di kawasan luar bandar.
“Saya harap program sebegini melibatkan juga jabatan lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan ini penting agar penduduk kampung dapat mengetahui dasar-dasar kerajaan yang terkini, selain dapat mengemukakan persoalan secara terus kepada agensi yang ada,” ujarnya.

Kaunter Semakan dan Pertanyaan e-Kasih antara perkhidmatan yang disediakan kepada penduduk setempat, kelmarin.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuk Kaunter Semakan dan Pertanyaan e-Kasih, Jualan Rahmah MADANI, perkongsian daripada KPDN, persembahan Dalgeles Gaung Buran, serta taklimat OPS Gasak oleh Pegawai Penerangan Daerah Keningau, Awang Mamun Awang Saman.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin.
-RJ-