Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Program Komuniti Kampung Bharu Meriah, Eratkan Silaturahim Penduduk

By 1 minute yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hanafi Sariman/Mohd Faizal Mat Akhir

AIR PUTIH, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bharu menjadi medan penyatuan komuniti setempat dengan pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena Program Komuniti Kampung Bharu, di sini semalam.

Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu membuka tirai dengan sesi senaman pagi melibatkan Kumpulan Ghi Ghong dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat daripada warga emas hinggalah golongan muda dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat.

Senaman pagi oleh Kumpulan Ghi Ghong.

Sorakan ceria daripada si cilik turut memeriahkan suasana apabila kanak-kanak dari Tadika Perpaduan Jalan Padang Tembak menyertai pertandingan mewarna.

Antara tumpuan utama program ialah taklimat kesedaran mengenai penipuan dalam talian yang semakin berleluasa oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah Timur Laut.

Pemeriksaan kesihatan percuma, kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menarik ramai penduduk setempat untuk menjalani pemeriksaan tekanan darah, tahap glukosa dan khidmat nasihat kesihatan diberikan secara percuma bagi menggalakkan penjagaan kesihatan awal.

Menambah seri program, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi kreatif serta membeli pelbagai produk komuniti seperti makanan tradisional, kraftangan dan hasil usahawan kecil tempatan.

Penduduk setempat tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma.

Sebagai penutup tirai, tayangan wayang pacak filem animasi Dongeng Sang Kancil menjadi daya tarikan malam dengan paparan filem berunsur kekeluargaan yang mengukuhkan lagi hubungan kejiranan dalam suasana santai dan mesra.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Lim Guan Eng, menyifatkan program seumpama ini sebagai inisiatif penting untuk memperkukuh perpaduan komuniti.

“Program seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh dan minda malah menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang.

“Saya menyokong penuh agar lebih banyak inisiatif seumpama ini diteruskan,” katanya yang hadir merasmikan program.

-ZS-

Tinggalkan komen anda