
Laporan/foto: Halimah Abd Ghani (Timur Laut)
SUNGAI PINANG, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Gelanggang Bola Keranjang Bandar Sri Pinang meriah dengan kehadiran penduduk setempat sempena Kempen Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang di bawah Lim Siew Khim, bersempena sambutan Hari Ibu Bapa, di sini semalam.
Program ini mendapat sambutan luar biasa, khususnya daripada golongan keluarga B40 yang berpeluang menjalani pelbagai saringan kesihatan secara percuma tanpa perlu ke klinik atau hospital.

Taklimat kesihatan berkaitan hipertensi dan penyakit alzheimer diberikan oleh Dr. Tim Che Aun.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan mata, tekanan darah, paras gula, kolesterol, indeks jisim badan (BMI) serta kaunseling pemakanan oleh pakar dietetik.
Ceramah berkaitan penyakit hipertensi dan Alzheimer turut menarik perhatian pengunjung yang ingin menambah ilmu kesihatan.
Lim Siew Khim, dalam ucapannya menegaskan kepentingan penjagaan kesihatan secara berkala sebagai langkah pencegahan awal penyakit tidak berjangkit seperti kanser, diabetes dan darah tinggi serta berharap agar masyarakat mengambil peluang yang ada demi kesihatan yang lebih baik.
Program ini turut disertai pelbagai pihak termasuk Hospital Adventist, Klinik Harmoni, CW Oii Optometrist dan McDonald’s.

ADUN Sungai Pinang semasa ucapan perasmian program.
Jabatan kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga membuka kaunter khidmat nasihat bagi kemudahan orang ramai.
Menambah kemeriahan, jualan barangan keperluan pada harga Rahmah turut diadakan sebagai usaha meringankan beban pengguna.
Salah seorang pengunjung, Tan Li Wei, 38, berkata program seperti ini sangat membantu masyarakat.
“Saya bawa sekali ibu bapa untuk buat pemeriksaan, program ini bukan sahaja memudahkan, malah sangat bermanfaat.
“Harap ia dapat diteruskan agar lebih ramai rakyat dapat manfaatnya,” katanya.
-ZS-