Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pulau Mawar, Permata Tersembunyi Mersing Kini Tumpuan Pelancong

By 6 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Fahmi Abd Malik (Mersing)

MERSING, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Terletak di Mukim Penyabong, Pulau Mawar kini muncul sebagai antara destinasi pelancongan semula jadi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing Mohd Norman Noh, berkata Pulau Mawar turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada Zon Geopark Mersing, yang merangkumi khazanah geologi, biodiversiti serta warisan budaya tempatan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing Mohd Norman Noh, berkata Pulau Mawar turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada Zon Geopark Mersing, yang merangkumi khazanah geologi, biodiversiti serta warisan budaya tempatan

“Pulau Mawar adalah khazanah alam yang perlu dipelihara sebab itu pelan pemeliharaan dan pembangunan lestari sedang dirancang bagi memastikan kelestarian ekosistem dan tarikan semula jadi kawasan ini terus terjaga.

“Kami mengalu-alukan kedatangan pelawat, namun mereka juga perlu bertanggungjawab terhadap kebersihan dan keselamatan sepanjang berada di sini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Majlis Daerah Mersing, di sini semalam.

Tambah Mohd Norman, dengan kombinasi keindahan alam semula jadi, nilai geologi yang unik serta akses yang mencabar namun menarik, Pulau Mawar berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam yang berimpak tinggi, asalkan diurus secara mampan dan beretika.

Seorang jurugambar profesional dari Mersing Fahmi Malik, 38, berkata keunikan formasi batuan semula jadi Pulau Mawar, terutamanya struktur menyerupai pintu gerbang yang dikenali sebagai Heaven’s Gate, menjadikan lokasi ini tular di media sosial dan menarik minat jurugambar, pencinta alam dan pengembara hujung minggu dari seluruh negara.

“Pulau kecil ini hanya boleh diakses ketika air laut surut melalui laluan hutan paya bakau dan pasir cetek sejauh kira-kira satu kilometer, dan apabila tiba di pesisiran pantai pulau, pengunjung akan disambut dengan panorama yang mendamaikan dan jauh daripada kebisingan kota.

Kedudukan Pulau Mawar yang jauh daripada pencemaran cahaya bandar menjadikannya lokasi ideal untuk merakam Bima Sakti dan gugusan bintang

“Keindahan formasi batu di Heaven’s Gate juga memberikan rasa seolah-olah berada di dunia lain. Ia antara lokasi terbaik untuk merakam matahari terbit dan panorama langit malam,” katanya.

Selain nilai geologi yang luar biasa, kawasan sekitar Pulau Mawar turut menawarkan pelbagai aktiviti riadah seperti perkhemahan, pendakian ringan, memancing, snorkeling di pesisir pantai serta fotografi astrografi.

Kedudukannya yang jauh daripada pencemaran cahaya bandar menjadikannya lokasi ideal untuk merakam Bima Sakti dan gugusan bintang.

Namun begitu, peningkatan jumlah pengunjung turut menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan mengingatkan orang ramai agar merancang lawatan mereka dengan teliti, termasuk menyemak jadual pasang surut air laut dan memastikan perjalanan dilakukan secara berkumpulan,“ katanya.

Beliau menambah, pelawat juga disaran membawa keperluan asas seperti makanan, air minuman, alat navigasi dan lampu suluh.

Tinggalkan komen anda