
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Onn Hafiz Ghazi (Johor)
JOHOR BAHRU, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan lebih RM2 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan kecekapan sistem digital perkhidmatan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor.

Kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan kecekapan sistem digital perkhidmatan PTG Johor melibatkan peruntukan lebih RM2 juta
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata peruntukan ini bagi memberi perhatian kepada penggunaan teknologi dalam pengurusan sistem tanah di negeri ini.
“Daripada jumlah itu RM1.55 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB), merangkumi modul e-serahan, e-carian dan e-consent serta kemudahan carian persendirian atas talian bagi hak milik strata diperluas kepada hak milik jenis landed.
“RM500,000 juga diperuntukkan bagi pembangunan sistem e-SBKS yang dijangka mempercepatkan urusan permohonan Serah Balik Kurnia Semula (SBKS), ubah syarat, pecah sempadan dan pindah milik, selain mengurangkan tempoh permohonan SBKS secara drastik daripada 510 hari kepada hanya 53 hari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Proses menaik taraf Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun ini
Jelas Onn Hafiz, sistem ini dijadualkan akan dilancarkan kepada umum pada September ini.
Bagi menampung kos operasi peningkatan sistem perkhidmatan tanah negeri, Kerajaan Negeri mencadangkan semakan semula kadar Fi Levi Kelulusan Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing daripada 2 peratus dengan minimum RM20,000 kepada 3 peratus minimum RM30,000.
Selain itu, ujarnya, turut dicadangkan ialah penambahan bayaran pendaftaran pindah milik tanah bagi hartanah melebihi RM500,000, dengan tambahan RM500 bagi setiap kenaikan nilaian RM100,000.
“Cadangan ini telah melalui sesi libat urus bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Johor dan Johore Bar Committee, selaras dengan usaha memastikan pelaksanaan yang seimbang dan berimpak positif kepada sistem penyampaian perkhidmatan tanah.
“Untuk rekod, kadar levi sedia ada telah berkuat kuasa sejak 2014, manakala struktur bayaran pendaftaran mengikut Jadual JPU94 masih belum disemak sejak 2004,” katanya.
Onn Hafiz berkata langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan rakyat dan pembangunan semasa.
-AA-