Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Seni Lukisan Mural Semakin Bernilai

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Seni lukisan mural bukan lagi sekadar hobi santai sebaliknya berkembang menjadi satu kerjaya profesional yang mampu menjanjikan pulangan lumayan kepada para penggiatnya.

Seorang pelukis mural berbakat besar berasal dari Jitra, Kedah Hasbullah Matt, 32, membuktikan bahawa bidang ini memiliki potensi besar dalam industri kreatif tempatan.

Antara Lukisan Mural yang terdapat di Bangunan Kompleks Bunga Raya di Pekan Pendang.

Minatnya terhadap seni lukis mula bercambah sejak di bangku sekolah rendah, kemudiannya berkembang sekitar tahun 2017 apabila beliau mencuba melukis di dinding sekadar untuk suka-suka.

“Sebelum ini saya lebih menumpukan kepada seni halus menggunakan kanvas dan kertas sahaja, lama-kelamaan saya beralih kepada lukisan mural kerana ia memberi kepuasan berbeza.

“Pada mulanya, saya hanya menghasilkan karya untuk koleksi peribadi sahaja kemudian tercetus idea untuk menghasilkan seni yang boleh dinikmati oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang ini, Hasbullah telah menghasilkan pelbagai jenis mural, yang kebanyakannya boleh dilihat menerusi akaun media sosialnya di TikTok dan Instagram dengan nama pengguna @aslah92.

Menerima tempahan daripada serata negeri termasuk daerah Pendang, Hasbullah mengakui setiap projek membawa cabaran tersendiri terutamanya apabila lukisan dilakukan di bahagian luar bangunan yang terdedah kepada cuaca tidak menentu.

“Selain faktor cuaca, salah satu cabaran utama adalah memenuhi kehendak pelanggan dari segi rekaan di mana ia memerlukan komunikasi yang jelas dan kefahaman mendalam agar hasilnya memuaskan kedua-dua pihak,” jelasnya.

Seni lukisan mural yang semakin mendapat tempat di hati peminat seni lukisan.

Dalam pada itu, Hasbullah turut menekankan bahawa masyarakat masih perlu diberi pendedahan mengenai nilai sebenar seni mural dan berharap orang ramai dapat lebih menghargai kerjaya sebagai pelukis mural yang menurutnya jauh berbeza daripada kerja mengecat biasa.

“Masyarakat kini mula memberi respon positif terhadap kewujudan seni mural di kawasan mereka kerana ia dianggap mampu menjadi daya tarikan setempat asalkan lukisannya menarik dan berkualiti.

“Kami sebagai pelukis juga menghadapi cabaran untuk mendidik masyarakat tentang kadar harga yang setimpal dengan nilai kerja seni yang dihasilkan,” katanya.

Dengan harapan agar kerjaya pelukis mural diberi pengiktirafan yang setara dengan bidang seni lain, Hasbullah terus melangkah maju dalam dunia seni mural sambil berkongsi hasil karyanya di media sosial termasuk Facebook Hasbullah Matt.

-ZS-

Tinggalkan komen anda