
Laporan/foto: Firdaus Rashid/Muhammad Fakhruddin (Barat Daya)
BATU MAUNG, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Lebih 300 orang penduduk setempat hadir memeriahkan Program JIWA Kemasyarakatan Komuniti MADANI Kampung Naran yang berlangsung meriah di perkarangan Bomba Sukarela Batu Maung, semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid yang turut merasmikan program dan meluangkan masa menyantuni para pengunjung.

Pemeriksaan kesihatan percuma turut disediakan kepada pengunjung.
Menurut Dr. Mohamad, program sebegini penting dalam membina keharmonian komuniti.
“Program seperti ini harus kita hayati dan jiwai kerana ia menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, sudah tentu inilah semangat MADANI yang perlu dipupuk bersama,” katanya ketika ditemui.
Program yang bermula seawal pukul 8.00 pagi itu diserikan dengan senaman aerobik sebagai pembuka tirai, menandakan permulaan kepada deretan aktiviti menarik yang menyusul sepanjang hari.

Penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk berbelanja lebih jimat di Program Jualan Rahmah MADANI.
Antara yang menjadi tumpuan termasuk Program Jualan Rahmah MADANI, sesi taklimat agensi kerajaan dan swasta, serta pelbagai pertandingan santai seperti musang berjanggut, kerusi berirama lelaki dan perempuan dan pertandingan mewarna kanak-kanak yang mencuit hati para peserta dan penonton.
Namun, yang paling mencuri tumpuan ialah kehadiran Oscar Goh, pemegang rekod Malaysia Book of Records yang telah berjaya melakukan 288 potongan rambut dalam masa 24 jam.
Dalam program ini Oscar Goh menawarkan khidmat gunting rambut percuma, menjadikan reruai anak muda ini antara yang paling sibuk dan meriah dikunjungi orang ramai.
Sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung sebanyak 100 hadiah cabutan bertuah turut disediakan menambahkan lagi keterujaan mereka yang hadir.
-ZS-