
Laporan/foto: Azrul Abdullah
ALOR SETAR, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Satu latihan kebakaran secara bersepadu melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Setar dan kakitangan Jabatan Penyiaran Kedahtelah diadakan di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, di sini semalam.

Latihan kebakaran sedang dijalankan.
Latihan yang berlangsung pagi semalam itu bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kefahaman warga kerja Jabatan Penyiaran dalam menghadapi situasi kecemasan khususnya kebakaran.
Antara pengisian menarik dalam program ini termasuk demonstrasi operasi menyelamat dan teknik mengeluarkan mangsa dari bangunan yang sedang terbakar. Anggota bomba lengkap dengan kelengkapan keselamatan menunjukkan kepakaran mereka dalam menyelamatkan mangsa yang terperangkap, disambut dengan tepukan gemuruh para peserta yang hadir.

Latihan mengeluarkan mangsa kebakaran yang dilaksanakan.
Salah seorang peserta Mohd Syahizam, 43, menyambut baik latihan dan demonstrasi ini.
“Latihan dan demonstrasi kebakaran ini sangat bermanfaat kerana memberi pendedahan sebenar tentang cara menyelamatkan diri semasa kecemasan serta meningkatkan keyakinan kami untuk bertindak pantas dan tenang jika berlaku kebakaran,” katanya.
Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama anggota bomba dan jentera penyelamat, serta pameran ringkas mengenai peralatan pemadaman kebakaran.
-FN-