
Laporan/foto: Sarah Saad (Perak)/Unit Korporat SUK Perak
SELAMA, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak terus komited dalam memastikan pematuhan undang-undang pembangunan dapat diterapkan bagi tujuan penambahbaikan premis dalam kelulusan perancangan, pematuhan keterjaminan keselamatan dan kesejahteraan penghuni.
Menurut unit Koporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Unit Korporat SUK Perak), langkah proaktif itu bermula dengan pelaksanaan Program Pemutihan Kelulusan Bangunan Institusi Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Maahad Tahfiz Negeri Perak.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Negeri Perak Datuk Nor Sham Rahman ketika menyampaikan ucapan perasmian
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Nor Sham Rahman, Perak merupakan negeri yang pesat dalam pembangunan institusi pendidikan Islam.
“Berdasarkan bancian Jawatankuasa Pendidikan Tahfiz Negeri Perak, terdapat 96 buah Maahad Tahfiz di seluruh negeri, di mana hanya lima daripadanya milik kerajaan manakala 91 buah lagi adalah institusi swasta.
“Justeru, kebenaran merancang dan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) termasuk kelulusan menduduki daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia adalah keperluan mutlak yang tidak boleh dikompromi,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Dewan Majlis Daerah Selama, Permai 2 di sini, kelmarin.

Sesi soal jawab ketika taklimat bagi Program Pemutihan Kelulusan Bangunan Institusi Sekolah Agama Rakyat/Maahad Tahfiz di Negeri Perak
Tambahnya, usaha berkenaan perlu diangkat sebagai Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Perak agar menjadi inisiatif kerajaan dalam menyemak dan menambah baik peraturan serta proses birokrasi dengan tidak membelakangkan perundangan sedia ada supaya kelihatan lebih telus, cekap dam berkesan.
Selain itu, bagi memberikan manfaat yang terbaik kepada rakyat, kerajaan negeri ingin menggunakan pendekatan Amalan Baik Peraturan (GRP) dalam mengurangkan halangan yang tidak wajar terlaksana.
“Saya juga ingin mencadangkan agar hasrat pemutihan institusi pendidikan agama ini menjadi satu agenda bagi mana-mana portfolio yang bersesuaian di Bawah Sejahtera Sosial bagi Pelan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.
Program berkenaan turut melibatkan kerjasama antara Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Pejabat Agama Islam Daerah, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak, PLANMalaysia@Perak serta Jawatankuasa Pengelola Sekolah Agama Rakyat dan Maahad Tahfiz.
-AA-