
Laporan/foto : Nurhayati Abdul Halim (MATU)
MATU, 10 Jul (MalaysiaAktif)– Daerah Matu dan Daro sememangnya terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisional, antaranya Pipus – juadah unik yang diperbuat daripada isi ikan segar yang dilenyek dan dibalut menggunakan daun nipah muda.
Keenakan aroma dan rasanya menjadikan Pipus sebagai juadah yang sangat sinonim bagi penduduk setempat dan ia dimakan bersama nasi putih panas atau sagu.

Dari bara ke selera, variasi Pipus segar disalai setiap hari di Gerai Rohaya.
Lebih menarik, makanan warisan ini bukan sekadar pelengkap hidangan tetapi turut menjadi sumber pendapatan buat sebahagian masyarakat di Matu, khususnya golongan suri rumah yang menjadikannya sebagai perniagaan harian menyara kehidupan keluarga.
Rohaya Naim, 51 antara individu yang gigih mengusahakan makanan warisan ini dan menjalankan operasi perniagaan Pipus dan Salai di Kampung Loba Balu, Matu setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad dari jam 8 pagi hingga 3 petang.
Berbekalkan kemahiran turun-temurun dan teknik memanggang tradisional, Rohaya mampu menghasilkan sehingga 750 batang Pipus dalam sehari, sambil memastikan kualiti dan rasa sentiasa terpelihara.
“Ikan yang saya guna semuanya segar iaitu hasil laut yang ditangkap sendiri oleh suami dan alhamdulillah, anak-anak saya turut sentiasa bersama mengusahakan perniagaan ini,” ujar Rohaya ketika ditemui semalam.
Antara variasi Pipus yang dijual termasuk Pipus Gonjeng, Pirang, Ayam, Sardin, Pari dan Udang, yang memenuhi cita rasa pelbagai pelanggan – daripada peminat ikan tempatan sehinggalah makanan laut dan ayam.

Aroma menggoda proses menyalai Pipus secara tradisional menjadi pilihan pelanggan yang rindu akan rasa warisan lama.
Menariknya, harga Pipus yang dijual amat berpatutan, iaitu serendah RM 1 sebatang, menjadikannya mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Selain Pipus, Ikan Pari Salai juga mendapat sambutan tinggi daripada pelanggan tetapnya kerana proses menyalai dilakukan secara tradisional menggunakan bara api, menjadikan tekstur ikan kekal lembut dan beraroma.
Beliau menekankan penting untuk memilih dan menggunakan daun nipah muda yang segar dan muda bagi memastikan kemudahan membalut malah menambah aroma wangi apabila dipanggang.
“Sejak kecil lagi saya memang suka makan Pipus. Bau daun nipah yang dibakar dan rasa isi ikan segar tu mengingatkan saya pada zaman dahulu,” ujar Laibee Ismail, 51, penduduk tempatan dan peminat setia Pipus.
Usaha gigih Rohaya bukan sahaja membantu mengekalkan identiti makanan warisan tempatan, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk menceburi bidang keusahawanan berasaskan tradisi, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
-RJ-