
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Pembangunan infrastruktur pendidikan yang berkualiti penting bagi memastikan pelajar mendapat akses kepada kemudahan yang setanding dengan sekolah lain.
Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib berkata kemudahan yang lebih baik akan membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa.
“Seterusnya menyokong usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan sebuah dewan serbaguna baharu bernilai RM500,000 yang sedang dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Patrick Mukah, di sini.
Projek di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kerajaan Sarawak itu bertujuan memperkukuh kemudahan pendidikan dan menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik serta kokurikulum di sekolah berkenaan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
SMK St. Patrick Mukah yang mempunyai sejarah penubuhan menjangkau 121 tahun merupakan antara institusi pendidikan tertua di Bahagian Mukah.
-RJ-





