Skip to main content
Berita TempatanSarawak

CENTEXS Dalat Tawar Latihan Kemahiran Percuma

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kamarulzaman Ahmad/Mohammad Izwan (Dalat)

DALAT, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Kampus Dalat menawarkan pelbagai program kemahiran jangka pendek dan latihan pengkhususan secara percuma bagi memperluas akses pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) kepada masyarakat luar bandar.

Eksekutif CENTEXS Dalat Errica Elisha Johny berkata inisiatif tersebut memberi peluang kepada lebih ramai individu meningkatkan kemahiran dan potensi diri tanpa dibebani kos latihan yang tinggi.

“CENTEXS Dalat memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berhasrat menambah kemahiran dan meningkatkan potensi diri tanpa mengira latar belakang.

“Kebanyakan program kemahiran jangka pendek dan latihan pengkhususan yang ditawarkan juga disediakan secara percuma, sekali gus memberi peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk mengikuti latihan tanpa dibebani kos yang tinggi,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, kelmarin.

Beliau berkata CENTEXS Dalat bukan sahaja memberi tumpuan kepada golongan belia, malah turut membuka peluang kepada komuniti setempat yang ingin meningkatkan kemahiran bagi memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan.

Sementara itu, seorang lagi Eksekutif CENTEXS Dalat, Syukrina Ismail berkata pelbagai fasiliti dan kemudahan yang disediakan turut membantu meringankan beban pelatih sepanjang tempoh pengajian.

Beliau menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan atau masih mencari hala tuju pendidikan, agar memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh institusi tersebut.

“CENTEXS Dalat merupakan pilihan yang sesuai untuk membina masa depan melalui pendidikan kemahiran tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.

“Kemudahan yang disediakan serta peluang latihan yang ditawarkan mampu membantu para pelatih memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk memasuki pasaran pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Melalui pendekatan latihan berimpak tinggi yang dilaksanakan, CENTEXS Dalat terus berperanan melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri serta berupaya menceburi bidang keusahawanan.

Sejak penubuhannya, institusi itu turut menyediakan lebih banyak peluang pendidikan kemahiran kepada penduduk setempat, sekali gus menyokong pembangunan sosioekonomi di Bahagian Mukah, khususnya di daerah Dalat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda